geny

Hobi imbau nostalgia

Oleh Redzuan Muharam

Ibarat kembali ke zaman kanak-kanak pada era 1980-an dan 1990-an. Itu yang dapat disimpulkan penulis sebaik melihat koleksi permainan vintaj kepunyaan Azlia Shahinas Che Aziz, 30, yang disimpan rapi di beberapa ruang di dalam rumahnya.

Malah, pelbagai saiz dan jenama permainan keluaran luar negara berada dalam simpanannya sejak ‘terjebak’ dengan hobi berkenaan pada Oktober tahun lalu.

Anak kelahiran Pulau Pinang ini berkata, selain kepuasan, minat antara sebab utama dia obses mengumpul permainan berkenaan walaupun sudah dewasa.

“Ketika kanak-kanak, saya tidak berpeluang bermain permainan berkenaan kerana harganya yang mahal.

“Apabila sudah bekerja dan mempunyai pendapatan tetap, timbul keinginan untuk membeli permainan terutama daripada koleksi vintaj dan daripada situ hobi itu terus melekat sehingga ke hari ini.

“Bagi saya, kepuasannya adalah dapat memiliki sesuatu yang sudah lama kita inginkan contohnya koleksi permainan kesukaan iaitu Shopkins, Poly Pockets dan Furby,” katanya.

Bercerita lanjut, Azlia berkata, selain portal jual beli dalam talian, sebahagian permainan berkenaan dibeli daripada peniaga ‘car boot’ atau kedai bundle.

Sebagai pengumpul, dia tidak kisah membeli permainan terpakai kerana apa yang lebih penting adalah mendapat koleksi diinginkan.

“Boleh dikatakan saya menghabiskan kira-kira RM300 hingga RM400 seminggu untuk membeli permainan diinginkan dengan purata hampir RM2,000 dalam sebulan.

“Namun, jumlah perbelanjaan itu tidak menentu kerana bergantung kepada keadaan cuma disebabkan obses, ada kalanya saya sanggup utamakan bajet untuk membeli permainan daripada makanan.

“Nampak seperti membazir tetapi bagi saya tidak, kerana ada antara koleksi itu boleh dijual semula kepada pengumpul lain yang berminat,” katanya.

Azlia berkata, sejak menjadi pengumpul, dia bukan saja mendapat kenalan baru dan menambah pendapatan menerusi jualan permainan tetapi pengetahuan mengenai sesuatu permainan.

Katanya, pengetahuan itu merangkumi tahun keluaran, harga di pasaran dan perkara lain berkaitan yang membantunya menambah koleksi sedia ada.

“Hobi ini bukan setakat mengumpul dan menambah koleksi tetapi bagaimana kita memanfaatkannya secara tidak langsung.

“Jika rasa ia boleh menambah pendapatan, tiada salahnya untuk menjual koleksi yang ada atau tukar suka sama suka dengan pengumpul lain.

“Itu caranya dan setakat ini, saya seronok dengan hobi yang dilakukan dan tidak terfikir untuk berhenti menambah koleksi,” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 2:26am
d