geny

Misi dua beradik

Oleh Redzuan Muharam

Pengalaman bekerja di restoran makanan segera dan berniaga di bazar Ramadan membantu dua beradik, Mior Amin Badalishah dan Mior Azim Badalishah membuka restoran sendiri tiga tahun lalu.

Bermula dengan restoran pertama di Pasar Raya Borong Matahari, Petaling Jaya, mereka terus mengorak langkah dan setakat ini mempunyai tujuh cawangan termasuk yang terbaru di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor.

Bercerita lanjut, Mior Amin berkata, selepas tamat persekolahan, dia tidak menyambung pengajian sebaliknya mencari pengalaman dengan bekerja sebagai kru di restoran makanan segera selama hampir dua tahun.

Selepas berhenti di restoran berkenaan, dia kemudian bekerja di syarikat telepemasaran selama setahun tiga bulan sebelum membantu keluarga menguruskan pelbagai perniagaan seperti katering dan bakeri.

“Banyak cabaran yang dilalui sebelum saya dan abang bersama-sama membuka rangkaian restoran sendiri namun pengalaman itu amat membantu kami untuk sampai ke tahap ini.

“Antara pengalaman paling menyeronokkan ketika berniaga hidangan Barat di bazar Ramadan.

“Sambutan pelanggan amat menggalakkan dan itu antara sebab kami berdua nekad membuka restoran sebagai satu inisiatif untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Mior Azim berkata, minat dan penerimaan baik pelanggan antara sebab utama dia masih bertahan dalam bidang perniagaan sehingga kini.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mungkin sampai ke tahap ini tanpa sokongan keluarga dan adiknya, Mior Amin yang menjadi tulang belakang dan banyak membantu dalam hal pemasaran.

“Selain berniaga di bazar Ramadan, saya pernah menjalani latihan industri di hotel lima bintang dan mempunyai kelulusan dalam bidang kulinari.

“Pengetahuan dan pengalaman dalam bidang hospitaliti serta kulinari membantu saya menguruskan perniagaan ini.

“Cabaran itu tetap ada, itu lumrah berniaga. Namun saya sentiasa berbincang dengan adik dan kakitangan mengenai strategi bagi memantapkan lagi perniagaan,” katanya.

Menurut Mior Azim, selain menyediakan hidangan enak, dia dan Mior Amin turut mengambil kira beberapa perkara lain yang tidak kurang pentingnya.

Antaranya harga dan kaedah bagi memastikan restoran berkenaan sentiasa menjadi pilihan untuk seisi keluarga.

“Bagi saya, perniagaan ini memang menguntungkan kerana makanan adalah keperluan harian.

“Namun, kita tidak boleh terlalu selesa dan perlu bijak merancang perniagaan, lebih-lebih lagi dengan adanya media sosial yang boleh mempengaruhi pelanggan untuk datang ke restoran atau sebaliknya.

“Sebab itu, kita harus sentiasa menjaga hati pelanggan kerana perniagaan boleh terjejas sekelip mata hanya dengan tersebarnya video negatif atau respons pelanggan yang kurang memuaskan,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 1:32am
d