geny

Arisha menyingkap Rahsia

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Puitis dan menyentuh jiwa. Itu yang dapat penulis gambarkan ketika menghayati hasil karya gadis muda ini.

Ini bukan kali pertama Arisha Akhir menghasilkan buku himpunan penulis puisi, namun bezanya kali ini ia ditulis dalam bahasa Melayu.

Buku yang berjudul Rahsia itu membahaskan pahit manis diharungi individu setiap hari.

Bijak menyusun kata dan mengatur bait puisi yang penuh bermakna serta menyentuh sanubari, ternyata Arisha tidak lari daripada gaya penulisan yang jujur.

Menurut Arisha, seorang penulis hanya mampu menguasai penulisan dengan baik apabila mesej ditampilkan secara jujur dari hati sendiri.

“Rahsia, sesuai dengan tajuknya adalah detik sebagai penulis, saya ingin berkongsi isi hati yang selama ini disimpan dan kekal sebagai rahsia,” katanya.

Ketika ditanya, Arisha memberitahu dia sebenarnya selesa menulis dan berkarya dalam kedua-dua bahasa namun menunggu masa sesuai untuk menghasilkan himpunan karya dalam bahasa Melayu.

“Sebenarnya, tiada satu bahasa pun yang dianaktirikan sebab saya memang selesa bertutur dan menulis dalam kedua-dua bahasa.

“Tidak sukar sebenarnya menulis dalam bahasa Melayu kerana ia bahasa ibunda. Malah lebih senang untuk saya mengekspresikan diri, meluahkan perasaan hati dengan bahasa yang menjadi tunjang identiti diri.

“Saya hanya menunggu masa yang sesuai untuk berkongsi karya dalam bahasa Melayu, Namun, tidak dapat dinafikan bahasa Melayu kita memang berbunga dan molek lenggoknya, sangat sesuai untuk permainan kata,” katanya.

Kata Arisha, penerbitan karya kali ini juga berbeza dari segi pengisiannya.

“Buku puisi yang dulu banyak mengetengahkan soalan yang merunsingkan diri manakala buku ini berfungsi untuk menjawab soalan yang lalu,” katanya.

Mengambil masa setahun untuk menyiapkan Rahsia, Arisha mendapat inspirasi daripada kejadian yang berlaku dalam kehidupan sehariannya.

“Saya ambil masa setahun untuk sempurnakan buku ini. Saya hanya boleh menulis untuk meluahkan perasaan setelah berlakunya sesuatu yang mencuit emosi.

“Jadi, inspirasi penulisan saya datangnya daripada kejadian seharian yang mungkin buat saya sedih, gembira atau marah,” katanya.

Kata Arisha, buku ini juga menampilkan topik dan pengisian yang dekat dengan Gen Y, jujur dan menegakkan realiti.

Selain bait puisi yang puitis, Rahsia turut menampilkan ilustrasi yang menarik dan unik.

“Kali ini saya berkolaborasi dengan Hakimi Abd, seorang pelukis yang juga giat dalam bidang muzik indie.

“Reka bentuk buku pula disempurnakan oleh Nana yang juga seorang pemuisi dan penggiat teater yang dikenali ramai.

“Konsep kali ini agak bersifat peribadi apabila kulit buku menggambarkan diri sendiri yang bersedia untuk berkongsi rahsia bersama pembaca,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai buku Rahsia, layari www.arishaakhir.com.

Disiarkan pada: February 14, 2018 @ 7:14am
d