geny

Kerdil bukan kekurangan

Oleh Redzuan Muharam

Ketika di sekolah, dia sering menjadi mangsa ejekan rakan sebaya kerana kekurangan dirinya yang bertubuh kerdil sejak lahir, namun Azrul Ismail terus cekal meniti hari dengan sokongan keluarga.

Malah, Azrul antara orang kurang upaya (OKU) yang boleh dibanggakan kerana pernah menduduki tempat kelima ketika pemilihan wakil Malaysia untuk kejohanan Para Asean bagi acara angkat berat kategori 49 kilogram (kg) tahun lalu.

Selain itu, dia juga pernah mewakili Perak dan mendapat tempat ketiga bagi acara merejam lembing, melontar cakera serta peluru dalam sirkit 1 kejohanan olahraga baru-baru ini yang sekali gus membuktikan kekurangan diri bukan halangan untuknya cemerlang di arena sukan.

Bercerita lanjut, anak ketujuh daripada lapan beradik ini berkata, sejak kecil, dia diajar berdikari dan meskipun mempunyai kekurangan diri, ibu dan ayahnya tidak memberi layanan istimewa sebaliknya dilayan sama rata dengan adik-beradik lain.

“Saya mendapat pendidikan awal di sekolah harian jadi dari situ, tiada pilihan kecuali membiasakan diri bergaul dengan rakan bukan OKU.

“Pendedahan mengenai OKU juga kurang ketika itu. Ia menjadi antara sebab yang menghalang saya aktif dalam bidang kokurikulum walaupun ada keinginan mengambil bahagian.

“Kadangkala, ada juga rakan yang mengajak bermain bola sepak tetapi hanya sekadar suka-suka namun peluang aktif dalam sukan terbuka luas selepas menyertai komuniti Sahabat OKU Perak,” katanya yang juga pemegang Diploma Kemahiran Multimedia dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, Selangor.

Menurut Azrul, buat masa ini, dia belum bekerja jadi rutin hariannya kini adalah menjalani latihan di pusat gimnasium pada hari biasa manakala waktu hujung minggu dihabiskan di trek olahraga.

Katanya, di samping minat, menjadi impiannya untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan peringkat antarabangsa satu hari nanti.

“Saya ada menghantar resume di beberapa syarikat namun masih belum mendapat maklum balas sehingga ke hari ini.

“Jadi, daripada mensia-siakan masa yang ada, lebih baik saya manfaatkannya dengan menjalani latihan kecergasan secara konsisten untuk meningkatkan stamina diri.

“Setakat ini, keluarga memberi galakan dan saya akan terus berusaha meningkatkan prestasi dan berharap ada peluang untuk bertanding dalam kejohanan yang akan datang,” katanya yang memiliki ketinggian 126 sentimeter.

Pada masa sama, Azrul berharap ada pihak yang memberi kepercayaan untuknya dan OKU lain bekerja bagi menunjukkan kemampuan diri.

Katanya, tanpa peluang, sukar untuk golongan sepertinya pergi lebih jauh kerana selain kecemerlangan akademik dan sukan, pengalaman bekerja amat penting dalam mengukuhkan reputasi diri.

“Saya pernah menjalani latihan industri di Kuala Lumpur dan tiada masalah untuk berulang-alik ke tempat kerja menaiki tren atau pengangkutan awam.

“Cuma, jika diberi pilihan, saya mahu bekerja tidak jauh dari rumah untuk peringkat permulaan bagi mengelak bebanan kos sara hidup.

“Saya sedar ramai siswazah kini sukar mendapat pekerjaan lebih-lebih lagi yang berstatus OKU seperti saya namun tiada yang mustahil selagi ada usaha,” katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2018 @ 4:01am
d