geny

Bukan biasa-biasa!

Oleh Redzuan Muharam

Obses bukan hanya mendorong seseorang itu berbelanja besar untuk mendapatkan apa yang diinginkan mereka tetapi juga meniru penampilan individu lain atau karakter diminati demi kepuasan diri.

Disebabkan minat keterlaluan, golongan ini akan memastikan tabiat, pergerakan dan aspek lain kelihatan sama seperti yang mereka minati.

Jadi, tidak hairanlah jika ada bertindak keterlaluan dengan memakan atau memakai sesuatu di luar kebiasaan sama ada kerana minat atau mahukan perhatian.

Nampak ganjil tetapi ia memang berlaku dan untuk itu, Gen Y kongsikan lima kisah golongan muda dengan obses masing-masing:

Gemar menyerupai harimau bintang

Siapa tidak gerun berdepan haiwan buas seperti harimau bintang namun lain kisahnya dengan Stephen yang obses sehingga gemar meniru tabiat dan cara pergerakan haiwan karnivor itu.

Antaranya dengan berlari pantas, memanjat batu dan pokok di dalam hutan seperti dilakukan harimau bintang.

Malah, Stephen juga memakai ekor dan topeng harimau bintang setiap kali meniru pergerakan haiwan berkenaan.

Baginya, haiwan itu cukup istimewa dan turut menganggap dirinya seekor harimau bintang kerana beberapa persamaan yang ada.

Eric si duyung lelaki

Menurut mitos, ikan duyung adalah haiwan legenda yang sebahagian fizikalnya menyerupai tubuh wanita.

Namun, siapa sangka, ada juga lelaki yang obses dengan ikan duyung iaitu , jejaka berasal dari Florida, Amerika Syarikat.

Difahamkan, Eric meminati ikan duyung sejak kecil dan membuat persembahan sulung dengan kostum berkenaan ketika berumur 16 tahun.

Selain berenang menggunakan kostum ikan duyung, Eric turut mempunyai kemahiran menjahit persalinan berkenaan dan pernah bekerjasama dengan penyanyi terkenal antaranya Lady Gaga.

Pakai maskot berbulu di tempat awam

Jika Eric meminati karakter ikan duyung, Lauren pula obses memakai kostum berbulu termasuk ketika berada di tempat awam.

Menurut Lauren, rasa lebih yakin ketika memakai kostum berkenaan walaupun dipandang pelik oleh individu sekeliling.

Gadis berkenaan juga sanggup memakai kostum berkenaan setiap hari tanpa rasa jemu dan selesa dengan penampilan sebegitu.

Antara kostum kegemarannya adalah serigala berwarna putih dan merah jambu yang sering dipakai ketika keluar bersantai.

Kaca jadi santapan

Kala individu lain berselera melihat makanan, Josh pula berbeza kerana gemar makan kaca daripada gelas minuman dan mentol lampu.

Jejaka berusia 27 tahun itu obses dengan tabiat berkenaan sejak empat tahun lalu dan difahamkan, dia sudah makan lebih 250 mentol lampu dan 100 gelas minuman.

Kebiasaannya, Josh melakukan aktiviti itu ketika pergi ke bar, majlis atau parti keraian tertentu.

Tindakan Josh itu bukan hanya mendapat perhatian individu sekeliling tetapi teguran daripada rakan rapatnya yang bimbang dengan kesan buruk kemudian hari.

Pakai balutan tangan

Kebiasaannya, tangan atau kaki hanya dibalut jika seseorang itu mengalami kecederaan atau selepas menjalani pembedahan tertentu.

Namun, Kevin, jejaka dari Chicago, Amerika Syarikat (AS) pula berbeza kerana gemar memakai balutan di tangan dan kaki meskipun tidak mempunyai luka atau mengalami kecederaan pada badannya.

Obses juga menyebabkan Kevin sanggup membelanjakan ribuan dolar AS untuk membeli kain dan kelengkapan lain bagi membalut tangan serta kakinya.

Menurut Kevin, dia selesa keluar dalam keadaan tangan berbalut kerana gemarkan perhatian tetapi tidak semua menyenangi tindakannya yang seperti mempermainkan individu sekeliling dengan balutan pada tubuhnya.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 12:00am
d