geny

Ketengah komik strip di IG

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Ringkas dan menarik. Penulis terhibur dengan komik strip gaya lukisan vektor yang dikenali dengan nama ‘Tak Relevan’ ini.

Karya yang mencuri perhatian ramai di Instagram ini memiliki pengikut hampir 14,000.

Menurut pelukis @takrelevan, yang ingin dikenali dengan nama Neo Zora, 29, komik strip hasil kerja tangannya itu mengetengahkan konsep minimalistik.

Katanya, setiap elemen dalam komik itu dipersembahkan dengan cara ringkas kerana ingin memberi penekanan pada isi.

“Dialog, teks dan visual adalah amat ringkas kerana fokus bagi setiap karya ialah jalan cerita, unsur komedi dan mesej yang ingin dibawa. Jadi, tumpuan utama komik saya tidak terletak pada lukisan itu sendiri,” katanya.

Anak muda berasal dari Pekan, Pahang ini berkata, penghasilan komik strip yang dimuat naik diketengahkan di platform Instagram (IG) adalah sekadar hobi.

Neo berkata, minat melukis bermula sejak sekolah rendah tapi ia terhenti selepas menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Dia mula mengembangkan bakatnya dengan menghasilkan komik strip sejak tahun lalu.

“Saya mula menghasilkan strip komik untuk akaun Instagram @takrelevan kurang setahun yang lalu.

“Pengikut ketika itu berjumlah kira-kira 100 orang terdiri daripada kenalan tapi semakin bertambah setiap kali karya baru dimuat naik.

“Saya tidak pernah membuat sebarang jangkaan untuk bilangan pengikut namun berterima kasih dengan penerimaan yang baik dalam masa yang singkat,” katanya.

Anak bongsu daripada enam beradik itu menambah, inspirasi bagi watak dan pengisian komik bukan sekadar daripada orang sekeliling dan kejadian sebenar tapi turut menjana kreativiti menerusi imaginasi.

“Kebanyakan inspirasi diperoleh daripada pengalaman peribadi, isu semasa masyarakat dan imaginasi. Sesetengah reka bentuk watak adalah berdasarkan kenalan sebenar atau tokoh sejarah.

“Antara karya tempatan yang banyak memberi kesan pada saya adalah sentuhan Datuk Lat, Bawang dan Lambok manakala komik digital antarabangsa pula seperti Tahilalats (Indonesia), Joey Allison, Extra Fabulous Comics, dan Deathbulge.

“Saya juga gemar menonton siri animasi Futurama dan rancangan komedi Whose Line Is It Anyway?” katanya.

Kata Neo, mengikut arus semasa, dia juga selesa menghasilkan komik menggunakan medium digital.

“Ya, penghasilan komik secara digital dapat mengurangkan ‘file-conversion artifacts’ dan kebergantungan kepada perkakasan fizikal.

“Jadi, lebih banyak masa dapat diperuntukkan untuk membina konsep, jalan cerita, sentuhan akhir dan penyebaran material.

“Selain itu, pengubahsuaian juga boleh dilakukan dengan masa singkat dan sangat fleksibel,” katanya yang memuat naik satu komik seminggu.

Neo berkata, dua jam sehari diperuntukkan untuk menghasilkan sesebuah komik bergantung pada idea dan kelapangan.

“Masa harus dibahagi antara kerjaya sebagai seorang pemprogram, bermain muzik dan melukis komik. Jika ketandusan idea, saya tidak akan memaksa diri untuk berkarya,” katanya.

Neo turut berkongsi kenangan manis sepanjang mengetengahkan karya di media sosial.

“Antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan adalah apabila karya saya dialih bahasa dan dikongsi di laman antarabangsa seperti 9gag, Mother of Sarcasm, DarkBox dan MuslimLAD.

“Ada yang berbangga dan menyuarakan agar unsur kemasyarakatan Malaysia diperkayakan kerana ini adalah peluang untuk mendedahkan kepelbagaian budaya kita kepada masyarakat luar. Saya jarang membaca komen, jadi setakat pengetahuan saya, semua respon adalah positif,” katanya.

Neo turut merancang untuk menghasilkan siri komik yang lebih panjang pada ulang tahun komik Tak Relevan.

“Pada ulang tahun pertama Tak Relevan, saya ada perancangan untuk menghasilkan siri yang lebih panjang dengan gaya yang berbeza seperti novel grafik atau penulisan buku, bukan terhad kepada strip komik semata-mata,” katanya.

Neo turut berkongsi pendapat mengenai penghasilan karya seni dalam kalangan Generasi Y di masa kini.

“Generasi sekarang lebih bersifat terbuka, ekspresif, global dan eksperimental. Medium untuk mengetengahkan bakat adalah lebih luas dan kondusif berbanding dahulu.

“Contohnya, komik digital di Instagram yang menjadi kegemaran saya ialah seperti Omma Amina, Leznar, Komik Picnic, Norazali, Picollo Tiwas, OTA-Comics. Masing-masing memiliki keunikan dan gaya tersendiri.

“Walaupun banyak karya yang terdapat di pasaran sekarang namun, masih banyak lagi segmen untuk diteroka. Sebagai rakyat Malaysia, kita sentiasa meraikan kepelbagaian,” katanya.

Neo turut berkongsi tip buat remaja yang ingin berkarya.

“Kenali sasaran penonton atau pengikut anda dan berkaryalah mengikut keselesaan sendiri. Anda juga kena berani mencuba sesuatu yang baru, tanpa prejudis.

“Cari keaslian dan identiti sendiri. Banyakkan sumber rujukan dan minda untuk mempelajari perkara baru setiap hari,” katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2018 @ 2:49am
d