geny

Tindakan nekad berbaloi

Oleh Fatin Farhana Japre

Semua orang boleh berjaya, itu kata-kata keramat yang sering disemat dalam fikiran Muhammad Dzulsaqar Hashim, 27, yang kini menyandang jawatan Ketua Pegawai Operasi di Bumbu Agency Sdn Bhd.

Siapa sangka hanya bermodalkan sebuah kamera DSLR dan komputer riba, anak muda ini dan sahabatnya, Mohd Sabir Sabaram, 27, merangkap ketua pegawai eksekutif berjaya membangunkan sebuah agensi yang menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan antaranya strategi pemasaran media sosial tanpa satu sen pinjaman modal daripada mana-mana pihak.

Berpeluang menemu bual Muhammad Dzulsaqar baru-baru ini, dia tidak lokek berkongsi kisah jatuh bangunnya untuk dijadikan inspirasi pembaca Gen Y.

Menurut Muhammad Dzulsaqar, dia dan Mohd Sabir mula menawarkan perkhidmatan fotografi, video dan grafik secara sambilan sejak zaman universiti.

“Saya masih ingat, kos sara hidup yang tinggi ketika berstatus penuntut jurusan Multimedia menyebabkan kami mula bekerjasama menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Percaya atau tidak, kami hanya menggunakan kamera DSLR dan komputer riba masing-masing sebagai modal permulaan.

“Walaupun pelanggan hanya dalam kalangan rakan dan saudara-mara, itu sudah cukup untuk kami menjana pendapatan sampingan.

“Tanpa kami sedari, tiga tahun berlalu dengan pantas dan kami berjaya tamatkan pengajian di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya. Selepas itu, kami masih aktif menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan walaupun sudah memasuki alam pekerjaan sebenar.

“Kami bekerja di beberapa buah syarikat di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang untuk mencari pengalaman. Banyak perkara baru yang dapat kami pelajari sebelum mengambil keputusan paling besar dalam hidup untuk berhenti makan gaji pada 2014,” katanya.

Kata Muhammad Dzulsaqar, mereka mengambil keputusan berhenti kerja dan membangunkan syarikat sendiri selepas menyedari pendapatan bulan sebagai ‘freelance’ lebih tinggi berbanding makan gaji.

“Ketika itu, simpanan kami tidak banyak, jadi kami menumpang di bangunan syarikat milik rakan di Bangi.

“Sejak itu, saya dan Sabir bekerja lebih keras mendapatkan banyak projek besar dan mula menggaji pekerja pertama pada awal 2015.

“Awalnya kami sedikit bimbang sekiranya tidak dapat membayar gaji pekerja tetapi sedar mereka membantu menyelesaikan pekerjaan di pejabat sementara kami berusaha mencari pelanggan.

“Semakin lama perniagaan kami semakin berkembang dan kami mula menambah bilangan pekerja bagi menggerakkan operasi Bumbu Agency Sdn Bhd.

“Memandangkan jumlah pekerja semakin ramai, kami berpindah ke bangunan pejabat di Petaling Jaya City Centre hingga sekarang,” katanya yang kini mempunyai 13 pekerja berusia 20-an.

Ternyata Muhammad Dzulsaqar dan Mohd Sabir tidak mudah lupa diri dan sentiasa beringat untuk menabung.

Daripada hasil wang simpanan bersama, mereka melakukan pengubahsuaian di pejabat dan kini Bumbu Agency mempunyai ruang pejabat dan studio sendiri.

“Jika dulu kami hanya berniaga kecil-kecilan, kini syarikat kami dikenali sebagai penyedia perkhidmatan kandungan dan pemasaran yang meliputi grafik, video, Facebook dan Instagram.

“Selain itu, kami juga menganjurkan bengkel Klinikfbads bagi membantu usahawan memasarkan produk menerusi media sosial.

“Malah agensi kami juga turut mendapat kepercayaan daripada artis dan usahawan popular antaranya Fazura, Baby Maembong dan ramai lagi untuk mengendalikan media sosial perniagaan mereka,” katanya yang kini mampu memperoleh pendapatan empat angka sebulan bergantung kepada projek.

Muhammad Dzulsaqar berkata banyak cabaran lain yang perlu mereka tempuhi untuk berjaya sehingga ke tahap ini.

“Cabaran utama sudah semestinya modal pusingan. Kami pernah mengalami masa sukar apabila tiada modal pusingan untuk mengembangkan perniagaan.

“Kami pernah merancang memohon pinjaman wang daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) tetapi hasrat itu dibatalkan apabila kami mendapat sebuah tender besar.

“Melalui wang itu, kami mula mengembangkan perniagaan dan menambah peralatan tanpa melakukan pinjaman dari mana-mana pihak.

“Kami berjaya bertahan hingga sekarang walaupun banyak pihak yang menawarkan untuk melabur dalam syarikat kami.

“Selain wang, kami pernah mengalami masalah menguruskan operasi syarikat dan kewangan.

“Memandangkan kami bukan belajar bidang pengurusan, kami mengupah penasihat untuk menguruskan kewangan dan operasi syarikat.

“Lama-kelamaan, operasi syarikat semakin teratur dan kami juga semakin seronok melihat perniagaan berkembang serta mendapat kepercayaan berterusan daripada pelanggan,” katanya yang kini mempunyai empat perniagaan enterprise dan sendirian berhad.

Muhammad Dzulsaqar turut menitipkan pesanan untuk remaja yang bercita-cita membangunkan perniagaan sendiri.

“Jika anda memang berniat membangunkan perniagaan sendiri, perlu fokus, jangan berputus asa dan bangunkan pasukan yang positif untuk menyokong jatuh bangun anda.

“Jangan jadikan kekurangan modal sebagai alasan untuk membantutkan cita-cita anda bergelar usahawan muda yang berjaya.

“Di samping itu, saya berharap Bumbu Agency Sdn Bhd dapat membantu lebih ramai usahawan membangunkan perniagaan secara dalam talian dan agensi ini dikenali di seluruh negara,” katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 11:47am
d