geny

Dari Malaysia ke Brazil!

Oleh Redzuan Muharam

Penyertaan kali ketiga pasukan Hyper Rich dalam kejohanan bola sepak lima sebelah Neymar’s Jr Five 2018 tidak sia-sia apabila muncul juara sekali gus layak mewakili negara ke pusingan akhir peringkat dunia di Instituto Projeto Neymar Jr, Sao Paulo, Brazil bermula 18 hingga 21 Julai nanti.

Hyper Rich yang dianggotai Naavin Krishanan, 32; Kisshaen Ananthan, 22; Devan Siwasody, 33; Hakim Rahman, 25; Ahmad Marzuqi, 25; Vigneshwaran M Sundram, 25 dan Kelvin Raj Anandhan, 25, yang meraih kemenangan itu selepas menewaskan lawan mereka, Hyper Rich B pada pusingan akhir pada 14 April lalu.

Kejayaan berkenaan turut menamatkan dominasi Tot United yang memegang gelaran juara sebanyak dua kali pada kejohanan terdahulu.

Kapten pasukan itu Naavin Krishanan atau lebih dikenali sebagai Diego berkata, semangat berpasukan dan keazaman yang kuat menjadi faktor kemenangan mereka dalam kejohanan berkenaan.

“Kami mengambil masa dua bulan untuk melakukan persediaan dengan menjalani latihan tiga kali seminggu di Sports Planet, Subang Jaya.

“Akhirnya, usaha kami berbaloi apabila meraih kemenangan selepas tiga kali turut serta dalam kejohanan ini.

“Namun, cabarannya tetap ada dan paling sukar tentunya ketika bersaing di peringkat separuh akhir,” katanya.

Menurut Naavin, buat masa ini, mereka akan memberi tumpuan kepada kejohanan Road To Russia yang akan diadakan di Akademi KLFA Taman Melawati pada 29 April nanti.

Katanya, selepas itu, barulah mereka akan meneruskan latihan seperti biasa sebagai persediaan sebelum ke Piala Dunia Neymar’s Jr Five 2018.

“Meskipun ini kali pertama Hyper Rich mewakili negara dalam kejohanan berkenaan, saya tetap mengharapkan kemenangan berpihak kepada pasukan kami.

“Kemenangan itu penting untuk merangsang semangat kami dan secara tidak langsung memberi inspirasi kepada pasukan lain yang akan menyertai kejohanan ini pada musim depan,” katanya.

Selain Naavin, pasukan Hyper Rich terdiri daripada enam pemain lain iaitu Kisshaen Ananthan, 22, Devan Siwasody, 33, Hakim Rahman, 25, Ahmad Marzuqi, 25, Vigneshwaran M Sundram, 25 dan Kelvin Raj Anandhan, 25.

Neymar’s Jr Five 2018 adalah pertandingan bola sepak anjuran bintang Brazil dan Paris Saint-Germain, Neymar dan Redbull Product of Europe sejak 2016 dan tahun ini 16 pasukan terpilih menyertai kejohanan akhir peringkat kebangsaan selepas melepasi pusingan kelayakan yang diadakan di empat lokasi bermula Mac lalu.

Empat lokasi berkenaan adalah Sports Prima, Johor Bahru; Sunway University, Selangor; Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dan Sports Planet Ampang, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 2:59pm
d