geny

Penangan status mat kilang

Oleh Redzuan Muharam

Jika diberi peluang, semua individu terutama golongan muda mengimpikan pekerjaan dengan gaji lumayan atau sekurang-kurangnya setara kelulusan mereka.

Bagaimanapun, tidak semua bernasib baik namun ia bukan bermaksud mereka gagal kerana apa yang lebih penting adalah pengalaman kerja.

Itulah pendirian Raimi Ahmad, pemuda berasal dari Pengkalan Hulu, Perak yang mendapat perhatian selepas statusnya di Facebook mengenai pengalaman bekerja sebagai operator pengeluaran kilang dikongsi lebih 10,000 netizen.

Menurut Raimi, apa dikongsikannya itu lebih kepada pandangan peribadi berdasarkan persepsi kebanyakan individu terhadap pekerja kilang.

“Jika diikutkan, pelbagai pekerjaan sudah saya lakukan antaranya jurujual jualan langsung dan penyelia ladang.

“Bukan tidak mahu bekerja lama di satu-satu tempat cuma saya lebih gemar mencuba dan mencari pengalaman baru.

“Dari situ, saya turut mengambil peluang dengan tidak hanya bekerja di tempat sendiri tetapi di beberapa negeri lain dalam negara ,” katanya.

Bercerita lanjut, Raimi berkata, dia tidak dapat menolak tanggapan negatif mengenai kecenderungannya bertukar kerja.

Namun, dia memandangnya dari sudut positif, salah satunya peluang untuk mempelajari perkara baru dan mengenali budaya masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

“Pekerjaan sebagai jurujual jualan langsung menguji kebolehan dan kemahiran meyakinkan orang untuk membeli.

“Lain pula halnya apabila bekerja di kilang yang tidak sama seperti dibayangkan.

“Pelbagai ragam boleh dilihat dan berpeluang mempelajari pelbagai perkara baru dan itu sebabnya saya berkongsi pandangan di Facebook. Tak sangka pula ramai yang memberi maklum balas dan sokongan ketika itu,” katanya.

Anak ketika daripada enam beradik ini berkata, apa yang dilakukannya diharap mengubah persepsi orang ramai terhadap pekerja kilang.

“Apa yang saya suarakan di Facebook itu bukan bertujuan mempengaruhi sesiapa cuma berkongsi pengalaman sepanjang bekerja di kilang.

“Bagi saya tiada salahnya bekerja di kilang kerana ramai yang berjaya dan membina kerjaya mereka di situ walaupun bermula dari bawah.

“Cuma terpulang kepada masing-masing dan saya berharap perkongsian itu memberi inspirasi kepada mereka yang berminat untuk bekerja kerana ia lebih baik daripada menganggur,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 1:12am
d