geny

Bakat ekstrem

Oleh Redzuan Muharam

Bermula sekadar suka-suka, Putra Zarfan Zalkaifali, 22, kini semakin serius dalam sukan kalistenik iaitu senaman jalanan menggabungkan beberapa teknik untuk membina kekuatan otot dan anggota tubuh.

Anak kedua daripada tiga beradik itu mengakui minat terhadap sukan ekstrem berkenaan tercetus selepas melihat rakan yang terlebih dulu aktif dalam sukan terbabit sebelum dia mengikut jejak langkah mereka pada awal 2015.

Meskipun tanpa bimbingan jurulatih, Putra Zarfan tekad mempelajari sendiri teknik menguasai sukan berkenaan termasuk kaedah mengimbangi badan untuk melakukan aksi lompatan berpandukan video di saluran YouTube.

Katanya, bukan mudah untuk menguasai teknik dalam sukan berkenaan malah memerlukan kesabaran yang tinggi namun minat menghalangnya daripada berputus asa.

“Sebelum terbabit dengan sukan ini, tubuh saya agak kurus dengan berat badan antara 40 hingga 50 kilogram (kg) saja.

“Namun, saya nampak perubahan sejak aktif dalam sukan ini apabila mendapat berat badan ideal dan bentuk tubuh yang lebih menarik.

“Bukan setakat itu, saya juga turut berpeluang menyertai kejohanan kategori individu dan berkumpulan yang secara tidak langsung memberi pengalaman serta peluang berkenalan dengan pemain lain di seluruh negara,” katanya.

Putra Zarfan berkata, memandangkan dia sudah bekerja, sesi latihan diadakan pada hari cuti atau ketika mempunyai masa terluang.

Latihan dijalankan bersendirian dan ada kalanya bersama rakan di kawasan riadah berhampiran rumahnya.

“Sukan ini sudah lama terkenal di luar negara tapi semakin berkembang di Malaysia dan sebagai pemain, saya tidak boleh selesa dengan teknik yang sama saja.

“Sebaliknya, saya suka mencuba dan mempelajari teknik terbaru termasuk daripada pemain yang lebih berpengalaman.

“Namun, aspek keselamatan perlu diberi perhatian kerana kalistenik adalah sukan ekstrem dan mudah terdedah risiko kecederaan serius jika tersilap langkah,” katanya.

Putra Zafran berkata, selain mempamerkan bakatnya dalam kejohanan yang disertai, dia turut menjadikan Instagram untuk berkongsi minatnya terhadap sukan berkenaan.

Bukan mahu menunjuk kemahiran yang ada tapi niatnya ingin menggalakkan lebih ramai remaja turut serta dalam sukan berkenaan.

“Untuk menyertai sukan ini, kita perlu minat selain disiplin termasuk dalam menjaga pemakanan kerana lompatan dilakukan memerlukan pemain untuk bijak me­ngimbangi badan.

“Selain itu, pemain juga perlu kreatif dan sentiasa ada keinginan untuk mempelbagaikan atau mencipta teknik yang boleh menjadi identiti mereka.

“Jika fokus, tidak mustahil seseorang itu boleh pergi lebih jauh malah saya sendiri mahu mengembangkan bakat ke pering­kat lebih tinggi untuk mengharumkan nama negara,” katanya yang akan mewakili negara dalam kejohanan di Bahrain pada November ini.

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 11:24am
d