geny

Lupa keseronokan beraya

Oleh Redzuan Muharam

Meskipun impiannya untuk menyertai misi kemanusiaan di Palestin belum kesampaian, Mohamad Farid Yusoff, 29, tekad membantu rakyat negara berkenaan dengan cara tersendiri menerusi misi kayuhan berbasikal solo Belia Bersama Keamanan yang berakhir dengan jayanya pada 25 Jun lalu.

Pemuda berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini sanggup melupakan seketika keseronokan menyambut Aidilfitri demi memastikan misi kayuhan sejauh 433.5 kilometer (km) yang bermula di Stadium Mini Keladi, Kulim, Kedah dan berakhir di Pusat Aman Palestin, Bangi, Selangor itu terlaksana.

Bukan mahu mencipta nama tapi misi selama enam hari itu dilakukannya bagi mengumpul dana untuk disumbang kepada rakyat Palestin.

Katanya, kayuhan basikal solo itu juga inisiatifnya untuk mengajak orang ramai membela golongan kurang bernasib baik ketika bergembira meraikan Syawal.

“Sebenarnya, saya lebih aktif menyertai larian maraton namun kesedaran untuk membantu rakyat Palestin menjadikan saya tekad melakukan misi kayuhan ini.

“Alhamdulillah, keluarga dan rakan memberi sokongan menjayakannya. Saya melakukan beberapa persediaan antaranya latihan fizikal sejak Januari lalu.

“Latihan itu merangkumi aktiviti kayuhan dan larian sejauh lima kilometer yang berterusan hingga Ramadan lalu menerusi program yang saya cipta sendiri iaitu SahuRun,” katanya.

Bercerita lanjut, Mohamad Farid berkata, dia puas kerana berpeluang singgah di tempat belum pernah dikunjunginya dan bertemu pelbagai lapisan masyarakat termasuk di kampung.

Di samping itu, misi berkenaan juga memberinya peluang merasai pengalaman baru antaranya bermalam di masjid dan surau.

“Saya mengayuh basikal dengan membawa bendera Palestin. Jadi, ia secara tidak langsung menarik perhatian pemandu kenderaan di jalan raya untuk melambai, membunyikan hon dan tidak kurang juga yang memberi biskut raya serta makanan sebagai tanda sokongan terhadap misi ini.

“Sokongan mereka itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan misi walaupun terpaksa menghentikan kayuhan buat beberapa jam pada hari kedua bagi menggantikan rim yang patah.

“Namun, cabaran itu tidak seberapa berbanding penderitaan dilalui rakyat Palestin di negara mereka,” katanya.

Mohamad Farid berkata, usahanya tidak akan terhenti setakat misi berkenaan sebaliknya dia mempunyai perancangan untuk meneruskannya pada akan datang dalam skala yang lebih besar.

Katanya, dia juga berharap apa yang dilakukannya itu memberi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk memberi sumbangan kepada komuniti mengikut cara dan kemampuan masing-masing.

“Ada kemungkinan misi ini diteruskan tapi tidak secara solo sebaliknya membabitkan lebih banyak penyertaan daripada pelbagai lapisan umur.

“Itu antara perancangan awal namun banyak lagi sebenarnya yang boleh kita lakukan untuk meringankan beban golongan kurang bernasib baik tidak hanya di luar tetapi juga negara sendiri," katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 1:22pm
d