geny

'Bantulah saya'

Oleh Zaitie Satibi

Kemurungan adalah gangguan emosi yang mampu melumpuhkan jiwa seseorang. Perasaan individu yang semakin menurun menjejaskan kehidupan hariannya termasuk pemikiran, perasaan, tingkah laku dan kesejahteraan. Sekiranya tidak ditangani secara efektif, ia boleh mendorong kepada tindakan membunuh diri.

Demikian dialami Hannah Lucas, 16, dari Georgia, Amerika Syarikat yang mengalami kemurungan selepas dikesan menghidap sindrom takikardia postural ortostatik (POTS) pada Januari 2017.

Penyakit itu menyebabkan Hannah pengsan setiap hari, malah lebih buruk lagi apabila gadis berkenaan menjadi mangsa buli rakan sebayanya yang menganggap Hannah seorang yang pelik berikutan kerap tidak sedarkan diri.

Hannah juga bimbang apa akan berlaku kepada dirinya jika dia pengsan seorang diri dan tiada sesiapa yang dapat membantunya. Hannah juga risau jika ada pihak yang mengambil kesempatan ketika dia dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Semua kebimbangan itu lama-kelamaan menjadikan Hannah seorang yang murung dan sering gelisah. Dia yang sentiasa sedih dan menangis kerana turut tidak tahan dibuli kemudian mula mencederakan diri sendiri di samping cuba membunuh diri.

Dalam satu kejadian ketika Hannah dalam keadaan paling terjejas dan cuba mencederakan dirinya, tiba-tiba Hannah terfikir bagaimana jika dia boleh menekan satu butang bantuan dan pertolongan yang diharapkan datang dengan segera.

“Ia seperti butang kecemasan yang apabila kita menekannya akan memberitahu bahawa seseorang tidak OK dan memerlukan bantuan.

“Saya kemudian berkongsi idea ini dengan adik, Charlie dan hasilnya kami berdua membangunkan aplikasi dinamakan notOK App yang dimuat turun di telefon pintar.

“Menerusi aplikasi ini, apabila seseorang yang memerlukan bantuan menekan butang notOK App, satu teks mesej akan dihantar kepada lima kenalan dipercayai.

“Mesej itu berbunyi ‘Saya tidak OK. Hubungi saya atau datang cari saya.’ Mesej ini akan dihantar bersama lokasi Sistem Pengesanan Global (GPS) si penghantar,” katanya.

Charlie membantu kakaknya itu membangunkan aplikasi berkenaan dengan kemahiran mengekod yang dipelajari di kem musim panas untuk rekaan aplikasi. Malah, Hannah turut membuat ilustrasi bagaimana aplikasi itu ingin dibangunkan.

Hannah kemudian memperbaiki ciptaannya itu ketika mengambil kelas keusahawanan musim panas di Georgia Tech dan ia menarik perhatian seorang profesor yang kemudian membantu mencarikan syarikat yang boleh membantu membangunkan aplikasi itu.

Dua beradik itu turut menubuhkan syarikat, Bug and Bee bagi memudahkan aplikasi itu diguna pakai semua orang. Aplikasi mudah alih notOK kini boleh didapati dengan memuat turun di peranti pengguna iOS dan Android.

“Saya berharap aplikasi ini dapat membantu mereka yang senasib dengan saya. Berdepan dengan kemurungan bukan lagi sesuatu yang peribadi, ia perlu dikongsi.

“Lazimnya, individu kemurungan menulis mesej memohon sokongan fizikal dan mental, namun kerana bimbangkan stigma mereka memadamnya sebelum sempat menghantar mesej itu.

“Kemurungan dan kegelisahan menghalang keupayaan seseorang untuk mendapatkan bantuan. Oleh itu, notOK App adalah butang panik digital yang membantu pesakit mendapatkan sokongan dimahukan hanya dengan menekan satu butang,” katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 1:15pm
d