geny

Memartabat mek mulung

Oleh Redzuan Muharam

Antara warisan kesenian terkenal di Kedah adalah mek mulung yang menggabungkan lakonan, nyanyian, tarian dan alunan muzik daripada alat seperti semborong, gong, serunai dan cerek dalam satu persembahan.

Namun, cuma segelintir kecil pewaris kesenian itu yang masih aktif mengadakan persembahan mek mulung sekali gus memperjuangkan warisan kesenian itu sehingga ke hari ini.

Dalam usaha memartabatkannya, sebuah pementasan bertajuk Hikayat Dewa Kaca diadakan di Panggung Eksperimen Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pementasan itu diarahkan penggiat seni tradisional, Zamzuriah Zahari dengan pembabitan penuntut Pusat Kebudayaan UM daripada jurusan tari, muzik dan drama.

Menariknya, pementasan berkenaan turut disertai penuntut bukan Melayu, Danesh Raj Nagarajan yang diberi kepercayaan memegang watak Mak Inang Itam.

Berkongsi pengalaman, Danesh mengakui gembira kerana diberi peluang oleh pihak produksi untuk memegang watak penting dalam pementasan berkenaan.

“Walaupun tidak asing lagi dengan persembahan kesenian Melayu terutama tarian tradisional, perasaan gementar tetap ada untuk menjayakan pementasan ini.

“Ia kerana saya dan pelakon lain tidak hanya perlu membawakan watak dengan baik tetapi penjiwaan karakter berkisar kehidupan di istana Kedah perlu dibawa secara berhati-hati demi memelihara kesenian mek mulung yang semakin dilupakan.

“Namun, semuanya berjalan lancar hasil kerjasama dan komitmen semua dalam memainkan peranan masing-masing ,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan Pusat Kebudayaan UM Aida Nurul Ain Abd Rahman berkata, pementasan Hikayat Dewa Kaca dilihat selari dengan wawasan pihaknya dalam memartabatkan warisan kesenian dan kebudayaan tempatan.

“Masa depan seni tradisi tempatan seharusnya kita jaga demi kelestariannya supaya nilai kemanusiaan yang murni di dalam masyarakat Melayu terus terpelihara.

“Salah satunya menerusi inisiatif sebegini dan bersama-sama menora, makyung, wayang kulit dan hadrah, mek mulung seharusnya diangkat sama tinggi sebagai warisan tradisi Melayu yang perlu dipelihara.

“Kelangsungan kesenian mek mulung ini juga secara tidak langsung membuktikan budaya Melayu itu sebenarnya penuh adab dan sopan serta mementingkan hubungan baik antara individu,” katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 12:42pm
d