geny

Bimbing pesakit jaga gigi

Oleh Redzuan Muharam

Pengalaman berkhidmat sebagai doktor gigi di luar ibu kota antara cabaran tidak dapat dilupakan doktor muda, Surendran Chandrasegaran, 27, yang baru menceburi bidang perubatan pada Mei tahun lalu.

Bukan setakat perlu memberi rawatan tertentu kepada pesakit, Surendran juga bertanggungjawab memupuk kesedaran masyarakat luar bandar mengenai kepentingan penjagaan gigi.

Meskipun begitu, Surendran menghargai pengalaman kerana banyak mengajarnya menjadi penyabar dan tenang ketika berhadapan pesakit.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, pengalaman itu juga akan dimanfaatkan walaupun kini bertugas di klinik swasta di Bangsar, Kuala Lumpur selepas menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam sejak Mei lalu.

“Sejak kecil saya berangan-angan menjadi doktor dan sebab itu, Sains antara subjek kegemaran saya ketika di sekolah.

“Bagi memastikan cita-cita itu tercapai, saya teruskan pengajian dalam bidang perubatan selepas tamat persekolahan dan mujur keluarga tiada halangan sebaliknya mereka yang banyak memberi galakan sehingga hari ini.

“Cuma, cabaran bermula apabila saya dihantar bertugas di Klinik Kesihatan Tapah, sebuah pekan kecil didiami masyarakat yang perlu diberi perhatian mengenai aspek kesihatan termasuk penjagaan gigi,” katanya.

Memikirkan tanggungjawab diamanahkan, Surendran memanfaatkan peluang bertemu pelbagai lapisan masyarakat bagi menyebarkan sebanyak mungkin maklumat mengenai cara dan kepentingan penjagaan gigi.

Menurut Surendran, perkongsian itu diberikan ketika bertemu pesakit yang mendapatkan rawatan tahap kesedaran masyarakat mengenai kesihatan dipertingkatkan secara tidak langsung.

“Ikutkan, saya berhadapan bermacam kerenah pesakit setiap hari, tetap itu cabaran doktor lebih-lebih jika ditugaskan di kawasan luar bandar.

“Malah, saya puas apabila dapat membantu pesakit dan bagi saya, tanggungjawab tidak terhad untuk memberikan rawatan saja, tetapi turut berperanan membantu masyarakat peka dengan beberapa aspek antaranya kebersihan.

“Dalam erti kata lain, saya perlu ambil inisiatif mengubah persepsi dan tabiat buruk pesakit jika ia boleh membawa kemudaratan seperti penyakit,” katanya.

Di sebalik kesibukannya dengan tugas hakiki, Surendran tetap meluangkan masanya untuk aktif dalam aktiviti kecergasan di luar waktu kerja.

Katanya, pembabitan aktif itu bukan sekadar untuk mendapatkan tubuh menarik, tetapi ia dilakukan untuk menjaga kesihatan diri dan imejnya sebagai doktor.

“Pembabitan dalam bidang kecergasan ini bukan atas paksaan sesiapa sebaliknya keinginan sendiri untuk berubah memandangkan pernah mempunyai tubuh berisi ketika kecil dulu.

“Sebelum kembali ke ibu kota juga, saya tetap melakukan aktiviti berkenaan walaupun gimnasium terletak agak jauh dari rumah ketika itu.

“Permulaannya agak sukar kerana saya tiada asas jadi Internet dan saluran YouTube menjadi rujukan namun lama-kelamaan, ia jadi perkara biasa.

“Diharap, penampilan saya tidak hanya memberi inspirasi kepada pesakit, tetapi menjadi tarikan terutama dalam kalangan kanak-kanak yang takut untuk bertemu doktor gigi,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 7:00am
d