geny

Tarikan festival kreatif

Oleh Redzuan Muharam

CYBERJAYA Multimedia Festival 2018 (CMF18), sebuah acara yang menggabungkan muzik, animasi, tayangan filem, perbincangan kreatif, pameran teknologi dan tapak jualan dianjurkan buat kali kedua baru-baru ini di Centrus Mall, CBD Perdana sempena SouthEast Asia Kre8tif! Conference & Content Festival.

Program itu inisiatif kolektif Sonikl dengan kerjasama Setia Haruman sebagai penaja utama dan penaja rasmi tapak, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan rakan belia rasmi, Komuniti Pemuda Selangor (SAY).

Menerusinya, pengunjung dapat menyaksikan penyatuan idea dari aliran teknologi dan seni yang mencerminkan reputasi Cyberjaya menghasilkan siswazah berkualiti dalam kedua-dua bidang berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SAY Dr Johan Kamal Hamidon berkata, program itu diadakan bagi mencungkil bakat anak muda terutama yang menetap di Selangor untuk diketengahkan.

Katanya, inisiatif itu perlu memandangkan Cyberjaya mempunyai potensi besar untuk menjadi salah satu destinasi dalam lingkaran pelancongan kreatif dan CMF18 tentunya membuka jalan mencapai sasaran berkenaan.

“CMF18 adalah satu platform yang amat diperlukan komuniti di selatan Selangor dalam meraikan dan meneruskan kelangsungan industri kreatif.

“Tambahan, ramai anak muda di negeri yang berbakat dan sudah mempunyai pencapaian cuma tidak diketengahkan lagi kerana kurangnya pendedahan.

“Oleh itu, penganjuran program sebegini diharap memberi peluang untuk komuniti mengambil bahagian dan pada masa sama menggalakkan kemajuan teknologi ke arah lebih matang secara keseluruhannya,” katanya.

CMF18 yang berlangsung selama dua hari dimulakan dengan forum dihoskan Cyberjaya Creative Community Conference, sebuah platform dipilih komuniti untuk berkongsi pandangan industri dari perspektif usahawan kreatif.

Ahli panel terbabit terdiri daripada Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Kandungan Animonsta Studio Anas Abdul Aziz, Pengasas Kaki DIY Takahara Suiko dari The Venopian Solitude, Pengasas Make It Happen Jonhson Lam, Pengasas dan Pengarah Kreatif Luey Motion Lab Nawwar Shukriah Ali, penulis, pengarah filem dan pengasas bersama Studio Canpakes Zul Luey dan artis visual serta Pengasas Bersama Botanic Records Zulamran Hilmi.

Segmen muzik pula menampilkan kugiran rock n‘ roll dari Ipoh, Bittersweet, penyanyi R&B, NJWA dan kugiran rock Psychedelic, Ramayan.

Aktiviti lain pula seperti bengkel DIY yang dibawakan oleh Cyberjaya Zine & DIY Festival, jualan barangan bundle dan berkaitan muzik di Collectors Market serta pementasan audio-visual yang menampilkan beberapa artis monolog-digital yang unik dan karya komuniti teknologi 4.0 oleh MYEDTech.

Tidak ketinggalan, tayangan animasi Konsert Hora Horey Didi and Friends, siri animasi TV seperti Omar & Hana, Boboiboy, Ejen Ali, Chuck Chicken dan Harry and Bunnie yang dianjurkan CMF18 dengan kerjasama Kre8tif! Content Festival oleh MDEC untuk meraikan ikon animasi warga Cyberjaya.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 5:00am
d