geny

The Rock sumber inspirasi

Oleh Redzuan Muharam

Kesibukan tugas sebagai anggota polis tidak menghalang Lans Koperal Muhammad Danial Amir, 28, aktif dalam bidang kecergasan.

Pemuda berasal dari Ipoh, Perak ini berkata, pembabitannya bermula sejak 2010 dan pelakon Dwayne Johnson atau lebih dikenali sebagai The Rock menjadi sumber inspirasi untuk mendapatkan bentuk badan idaman.

Baginya, penting untuk memiliki tubuh ideal memandangkan dia berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jadi aspek penampilan perlu dititikberatkan bagi menjaga imej jabatan.

“Sejak kecil saya ingin menceburi bidang kecergasan lebih-lebih lagi selepas melihat penampilan The Rock di kaca televisyen.

“Bagi saya, dia mempunyai pakej lengkap sebagai seorang lelaki dan kagum dengan bakat dan kesungguhannya terutama dalam mengekalkan bentuk tubuh sasa.

“Memikirkan tiada yang mustahil, saya tekad aktif dalam bidang kecergasan dengan mengunjungi pusat gimnasium dan kerana minat, rutin itu berterusan sehingga ke hari ini,” katanya.

Meskipun sudah memiliki bentuk badan diinginkan, Muhammad Danial tidak mahu berada di zon selesa sebaliknya konsisten menjaga pemakanan dan melakukan latihan bagi memastikan sentiasa cergas.

Malah, dia juga mengambil inisiatif sendiri dengan menyertai pelbagai pertandingan badan cantik (Men’s Physique) dan bina badan di dalam dan luar negara sejak empat tahun lalu sebagai salah satu cara mengekalkan bentuk badan selain mencabar kebolehan diri.

“Saya tidak mahu pembabitan dalam bidang kecergasan ini sekadar mengisi masa lapang atau mendapatkan badan sado semata-mata.

“Sebaliknya, saya mahu pergi lebih jauh dan sebab itu saya memberanikan diri menyertai pertandingan di seluruh negara dan negara jiran iaitu Indonesia.

“Alhamdulillah, percubaan saya membuahkan hasil apabila berjaya menjuarai beberapa pertandingan serta menempatkan diri dalam kelompok tiga hingga 10 terbaik. Kejayaan itu menyuntik semangat saya untuk terus aktif dalam bidang kecergasan,” katanya yang kini berkhidmat di Agensi Keselamatan Sempadan Bukit Bunga Tanah Merah, Kelantan.

Mengenai hala tujunya, Muhammad Danial berkata, dia bercadang membuka kedai makanan tambahan satu hari nanti kerana melihat potensi yang ada dalam perniagaan berkenaan.

Katanya, dia berharap impiannya itu akan terlaksana walaupun menyedari banyak masa, wang dan tenaga perlu dikorbankan untuk memastikan perancangannya berjaya.

“Kini, saya bekerja sepenuh masa sebagai anggota polis dan jika ada rezeki, saya mahu mencari pendapatan sampingan dengan menjalankan perniagaan sendiri.

“Sekurang-kurangnya saya dapat meneroka bidang baru dan membantu lebih ramai generasi baru yang ingin menceburi bidang ini menerusi penyediaan produk khusus untuk mengekalkan kecergasan mereka,” katanya yang juga anak bongsu daripada lima beradik.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 12:27pm
d