geny

3 tahun berniaga

Oleh Redzuan Muharam

KEPUTUSANNYA meletak jawatan sebagai jurutera kanan bersekutu di sebuah syarikat telekomunikasi untuk menjadi peniaga anak patung pernah mendapat tentangan keluarga.

Namun Mohd Nur Razally Mohd Tarmizi membuktikan keputusannya tidak silap apabila mampu bertahan dengan hasil pendapatan sebagai peniaga sepenuh masa sejak tiga tahun lalu.

Baginya, tiada apa yang perlu dikesalkan, sebaliknya dia puas kerana dapat keluar dari zon selesa walaupun perlu bermula dari bawah.

“Saya memang gemar mengumpul anak patung tetapi sekadar suka-suka. Namun apabila memikirkan keinginan untuk bekerja sendiri, saya nekad serius menjalankan perniagaan ini secara sepenuh masa.

“Buat masa ini, saya jalankan urus niaga di Facebook (FB) manakala pada hari Jumaat dan hujung minggu pula, saya buka gerai jualan di TAPAK berhampiran Menara Berkembar Petronas (KLCC).

“Selebihnya, saya cari peluang dengan menyertai program tertentu sebagai alternatif untuk menambah pendapatan,” katanya.

Mohd Nur Razally berkata, anak patung yang dijual adalah daripada koleksi terpakai dan kebanyakannya diimport dari Jepun dan Australia.

Bagi memastikan kebersihannya, dia akan mencuci anak patung berkenaan terlebih dulu sebelum menjualnya kepada pelanggan.

“Sebagai peniaga barangan terpakai, saya tidak boleh memikirkan keuntungan semata-semata tetapi kebersihan juga menjadi perkara yang perlu diambil kira.

“Lebih-lebih lagi apabila menjual anak patung kerana kebanyakan pelanggan membelinya untuk anak mereka. Jadi, penting untuk membersihkannya daripada segala kekotoran walaupun luarannya nampak bersih bagi mengelakkan berlaku­nya alahan atau penyakit lain.

“Sekurang-kurangnya, mainan itu kelihatan seperti baru dan saya juga jadi lebih yakin untuk menjualnya kepada pelanggan,” katanya.

Berkongsi pengalamannya, Mohd Nur Razally berkata, seperti perniagaan lain, dia juga tidak dapat lari daripada risiko menanggung kerugian.

Namun, anak muda ini yakin masalah itu tidak timbul selagi dia komited, berusaha gigih dan tidak putus asa dalam menjalankan perniagaan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan pulangan diperoleh setakat ini walaupun pada awalnya dulu, ada yang memandang sinis dan tidak kurang juga menganggap saya berperwatakan lembut hanya kerana menjual anak patung.

“Saya tidak ambil pusing dengan perkara itu kerana bagi saya, tiada salahnya lelaki menjalankan perniagaan ini, malah lebih selamat terutama jika bersendirian menjual barangan ketika di tempat terbuka.

“Lagipun, perniagaan ini tidak hanya menjadi punca rezeki buat saya, sebaliknya memberi laluan untuk melakukan kerja amal menerusi sumbangan anak patung kepada kanak-kanak kurang bernasib baik,” katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 5:40am
d