geny

Cabaran produksi amatur

Oleh Redzuan Muharam

MENGUBAH suai studio kecil menjadi rumah hantu seperti dalam filem seram adalah cabaran perlu digalas oleh 40 mahasiswa yang menjayakan program ‘Umay Escape: House of Haunted Souls’ sempena Festival Konvokesyen Universiti Malaya (FESKUM) pada 20 hingga 27 Oktober depan.

Meskipun masih amatur, mereka optimis dalam memastikan kejayaan program edisi ketiga itu menerusi persediaan rapi yang dilakukan sejak sebulan lalu.

Pengarah Program Mohd Khuzairi Amir Hamzah berkata, matlamat program adalah untuk memberi peluang kepada mahasiswa daripada pelbagai latar belakang menonjolkan kreativiti masing-masing seperti menerusi penyediaan set dan solekan seperti produksi profesional.

Menurut Mohd Khuzairi, bagi memastikan program itu berjalan lancar, tugasan dibahagikan kepada lima kumpulan iaitu teknikal, solekan, hiasan, lakonan dan protokol.

“Untuk program ini, kami dikehendaki mengubah suai Studio Tari, Kompleks Perdanasiswa UM menjadi sebuah rumah yang menyeramkan mengikut tema iaitu pengembaraan sekumpulan remaja mencari jalan keluar selepas terperangkap di dalamnya.

“Memandangkan ruangan di dalam studio itu agak sempit, kami sediakan pembahagi ruang lengkap dengan prop bersesuaian bagi menghidupkan elemen seram dalam rumah berkenaan,” katanya.

Mohd Khuzairi berkata, buat masa ini, pasukannya sedang bertungkus-lumus melakukan persiapan terakhir menjelang program berkenaan.

“Setakat ini, persiapan sudah mencapai tahap 30 peratus dan kami berharap segalanya berjalan lancar dari awal sehingga hari terakhir program.

“Kehadiran warga kampus untuk turut serta menyertai cabaran di dalam rumah berkenaan juga amat diharapkan malah inilah masanya untuk mereka menguji keberanian diri.

“Malah, peserta bukan setakat berpeluang merasai pengalaman mendebarkan tetapi dapat menguji pengetahuan dengan menjawab kuiz disediakan bagi membebaskan diri mereka daripada rumah berkunci itu,” katanya.

Sementara itu, penuntut semester lima Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Farida Kamilia Azizan, 21, berkata, walaupun sekadar mempunyai ilmu asas dalam bidang solekan, dia sedia menggalas tanggungjawab sebagai jurusolek dalam program berkenaan.

Katanya, sebagai persediaan, dia mempelajari teknik solekan dengan kesan menakutkan menerusi YouTube dan Internet.

“Sebelum ini, saya hanya tahu mengenai teknik solekan asas. Namun, bagi melaksanakan tugasan ini, saya perlu mempelajari teknik solekan wajah seram bagi menghidupkan watak hantu yang dilakonkan rakan sepasukan.

“Pada mulanya, saya sangkakan tugasan ini mudah tetapi rupanya tidak kerana banyak latihan perlu dilakukan untuk mahir dalam teknik solekan berkenaan.

“Namun, itulah cabarannya dan saya akan melakukan yang terbaik dan berharap hasil solekan saya nanti sempurna dan menepati kehendak produksi,” katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2018 @ 4:00am
d