geny

Geek Fam wakili negara

Oleh Hazril Md Nor

PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) adalah permainan video yang sangat digemari komuniti ‘gaming’ di sini dan juga seluruh dunia.

Jadi tidak hairanlah kalau ada banyak kejohanan e-sukan yang tertumpu kepada permainan ini saja. Baru-baru ini, Geek Events menganjurkan PUBG Malaysia/Singapore Championship 2018 Final yang mengumpulkan 20 finalis dari Malaysia, Brunei dan Singapura berentap merebut wang tunai terkumpul RM40,000!

Dalam pertarungan sengit selama dua hari di Battle Arena Malaysia, ratusan peminat hadir untuk menyaksikan kejohanan itu secara langsung sementara ribuan penonton melayari penstriman di Facebook Geek Events.

Pada hari pertama, FFG Elite adalah pasukan yang paling kuat, mendominasi pertarungan dengan ‘chicken dinner’ paling banyak. Bagaimanapun, pada akhir hari pertama, Geek Fam menduduki tangga teratas dengan prestasi membanggakan menerusi enam set pertarungan.

Persaingan makin sengit pada hari kedua apabila semua pasukan bermain sehingga 10 perlawanan tanpa berjaya mendapatkan skor untuk memenangi kedudukan empat teratas lalu tinggal baki dua perlawanan penentuan.

Pada pusingan ke-11, Geek Fam berjaya mendapatkan 17 mata bunuhan dan memenangi ‘chicken dinner’ pertama lalu meraih 800 mata pendahuluan berbanding naib juara, Quacker. Ini menyebabkan Quacker berada dalam posisi yang merisaukan untuk bermain dengan sempurna pada pusingan ke-12 bagi meraih kedudukan pertama.

Pada pusingan ke-12, Quacker berjaya menundukkan Geek Fam namun tewas di tangan pasukan Singapura, Best Made Warriors (BMW) yang berjaya memenangi ‘chicken dinner’ pertama pada pusingan akhir. BMW tidak pulang dengan tangan kosong, mendapat tempat kelapan walaupun berada di kedudukan tercorot pada hari pertama.

Akhirnya, Geek Fam melepasi skor pasukan lain dan memenangi kejohanan itu, membawa pulang wang tunai RM16,000 dan membuktikan kekuatan mereka sebagai pasukan yang hebat antara Malaysia, Singapura dan Brunei.

Di carta skor terakhir, Geek Fam mencatatkan 4,395 mata, menewaskan Quacker yang meraih 3,870 mata. Selain dua pasukan ini, Gaventure dan MBT.Minumkopijap juga berjaya memenangi trip percuma ke Bangkok untuk JIB PUBG SEA Championship apabila mereka akan mewakili Malaysia untuk merebut hadiah wang tunai terkumpul AS$100,000. Tahniah kepada mereka!

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 6:59am
d