geny

Simbolik lukisan Lugas

Oleh Redzuan Muharam

PENGHASILAN lukisan bukan hanya didorong oleh minat tetapi keinginan pelukis untuk meluahkan rasa bagi menyampaikan mesej tertentu.

Malah, setiap pelukis mempunyai cara tersendiri dalam menghasilkan karya tidak kira berdasarkan pengalaman peribadi atau mengambil inspirasi daripada individu tertentu.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan menemu bual Lugas Syllabus, pelukis dari Jogjakarta, Indonesia yang diundang menyertai Pameran ‘Maybank Women Eco Weavers’ bersama seorang artis tempatan, Shahrul Jamili di Balai Seni, Menara Maybank, Kuala Lumpur.

Dalam pameran berkenaan, Lugas mempamerkan tiga karya lukisan bermotifkan tradisional, gabungan seni budaya Sumatera dan Kemboja serta seni kontemporari yang mengambil masa sebulan untuk dihasilkan.

“Sejak kecil saya gemar melukis tetapi sekadar mengisi masa terluang. Namun, minat mendorong saya untuk terus melukis sebelum mula serius dengan hobi itu pada umur 16 tahun.

“Bertitik tolak dari situ, saya asah kemahiran melukis dan setiap lukisan dihasilkan mengetengahkan simbol tertentu untuk menyampaikan mesej tersirat di sebalik karya berkenaan.

“Contohnya, lukisan bermotifkan trompet yang saya hasilkan sebagai simbolik kepada tiupan sangkakala menandakan tibanya hari kiamat.

“Bagi saya, karya itu bukan sekadar hasil kreativiti tetapi memberi makna yang cukup mendalam dan menjadi peringatan kepada kita semua,” katanya.

Menurut Lugas, sebagai pelukis, dia tidak dapat lari daripada berdepan cabaran namun paling besar adalah menghasilkan karya bermutu dan menguruskannya selepas dihasilkan.

Bagaimanapun, minat dan pengalaman banyak membantunya berdepan cabaran selain kekuatan untuk terus bergelar pelukis sehingga kini.

“Saya bukan daripada keluarga seni cuma ayah meminati seni, jadi dia banyak memberi galakan untuk saya terus berkarya.

“Secara tidak langsung, ia memberi semangat untuk saya terus bergelar artis dan mencari pengalaman menerusi penyertaan dalam beberapa siri pameran termasuk di luar negara.

“Bagi saya, penyertaan dalam siri pameran bukan saja platform untuk memperkenalkan hasil karya tetapi menambah kenalan baru dalam kalangan komuniti pelukis dan pencinta seni,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 5:00am
d