global

Jumlah pengundi pilihan raya Presiden Perancis merosot

Paris: Jumlah pengundi yang keluar mengundi dalam pilihan raya presiden Perancis sehingga tengah hari semalam (waktu tempatan) ialah 28.23 peratus, merosot berbanding pilihan raya 2012 yang mencatatkan 30.66 peratus.

Jumlah semalam juga lebih rendah dibandingkan dengan 28.54 peratus yang dicatatkan pada pusingan pertama pilihan raya itu yang diadakan 23 April lalu.

Biasanya, jumlah pengundi yang mengundi pada pilihan raya presiden negara itu agak tinggi, sekitar 80 peratus.

Pilihan raya semalam menyaksikan pertarungan antara Emmanuel Macron yang berfahaman tengah menentang Marine Le Pen dari parti berhaluan pelampau kanan.

Ini kali pertama dalam tempoh 60 tahun pilihan raya negara itu tidak mempunyai calon berhaluan kiri atau kanan.

Kajian terbaru menunjukkan tujuh daripada 10 pengundi tidak gembira dengan kedua-dua calon terbabit.

Macron bagaimanapun diramalkan akan menang, kecuali ramai rakyat negara itu tidak mengundi. - AFP

Disiarkan pada: May 8, 2017 @ 10:54am
d