global

Latihan tentera Filipina, AS 12 hari

Oleh AP

TENTERA Filipina dan Amerika Syarikat (AS) semalam memulakan latihan ketenteraan tahunan yang berskala lebih kecil berbanding tahun sebelumnya.

Perubahan itu adalah arahan Presiden Rodrigo Duterte yang sebelum ini mencetuskan perbalahan dengan AS dan pada masa yang sama menjalinkan hubungan mesra dengan China dan Russia.

Duterte juga mengambil pendirian berlembut mengenai pertikaian dengan China berhubung Laut China Selatan dan mengarahkan latihan ketenteraan dengan AS ditamatkan.

Latihan ketenteraan selama 12 hari yang dikenali sebagai Balikatan itu dirasmikan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana dan Duta AS, Sung Kim di ibu pejabat tentera di Manila.

Pegawai berkata, 5,400 peserta terdiri daripada 2,600 askar AS dan 2,800 askar Filipina menyertai latihan itu berbanding 11,000 anggota tentera yang mengambil bahagian pada tahun lalu.

AS dan Filipina adalah sekutu rapat dan mengadakan latihan bersama untuk kali ke-33 untuk memastikan koordinasi dan kemampuan pasukan mereka.

Pada tahun ini, kumpulan kecil dari Jepun dan Australia juga mengambil bahagian sebagai pemerhati.

Latihan pada tahun ini memfokuskan kepada bantuan ketika bencana dan operasi memerangi keganasan.

Disiarkan pada: May 9, 2017 @ 2:55am
d