global

Moon lebih berjiwa rakyat

Oleh AP

Seoul: Swafoto, kopi dan jaket itu saja diperlukan untuk membuktikan imej Presiden Korea Selatan Moon Jae-in sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat.

Pengguna Internet Korea Selatan semalam mengongsikan gambar Moon menolak apabila ditawarkan bantuan oleh kakitangannya untuk menanggalkan jaketnya sendiri ketika majlis makan tengah hari.

Selain itu, gambar Moon yang tidak berjaket dan memegang secawan kopi ketika berbual mesra dengan pembantu di halaman istana Presiden turut menarik perhatian.

Ramai memandang pendekatan Moon itu sebagai perbezaan ketara berbanding bekas pemimpin, Park Geun-hye, yang dianggap pengkritiknya sebagai sombong dan autokratik.

Moon memulakan hari pertama tugasannya dengan bersalam dan berswafoto dengan penyokongnya berhampiran rumahnya sebelum menuju ke Rumah Biru, kediaman rasmi presiden.

Menurut pegawainya, Moon akan berulang-alik dari rumahnya untuk beberapa hari sementara pekerja selesai menyiapkan Rumah Biru untuknya.

Dalam ucapannya selepas mengangkat sumpah kelmarin, Moon berkata, dia merancang tidak mahu menetap di Rumah Biru yang dilihat sebagai usahanya menjadi pemimpin yang lebih mudah didekati.

Sebaliknya dia merancang bekerja di pejabat di Gwanghwamun, berhampiran dataran tempat jutaan orang berhimpun membantah secara aman selama beberapa bulan sebelum Park disingkirkan dan ditangkap pada Mac lalu atas tuduhan rasuah.

Disiarkan pada: May 12, 2017 @ 10:57am
d