global

Ahok mohon tangguhkan hukuman

Jakarta: Peguam Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama berusaha memohon penangguhan hukuman penjara terhadap pemimpin itu yang dihukum penjara sejak Selasa lalu selepas didapati bersalah menghina Islam.

Basuki atau dikenali sebagai Ahok didapati bersalah oleh Mahkamah Jakarta Utara dan dihukum penjara dua tahun.

Peguam Ahok, Fifi Lety Indra berkata, pihaknya sudah memfailkan permohonan penangguhan hukuman untuk Ahok di Mahkamah Tinggi Jakarta.

“Kami menjangkakan mahkamah membenarkan penangguhan hukuman dan mengenakan larangan meninggalkan bandar ini kepada Ahok,” katanya.

Menurutnya, hampir mustahil untuk Ahok melarikan diri ke luar negara.

“Ahok sentiasa memberi kerjasama dan dia tidak pernah datang lambat atau tidak hadir sepanjang perbicaraan berlangsung walaupun jadualnya padat,” jelasnya.

Menurutnya, beberapa ahli politik, penyokong, peguam dan ahli keluarga Ahok menyatakan kesediaan untuk menjadi penjamin dalam surat penangguhan hukuman berkenaan.

Ahok didakwa di mahkamah susulan ucapannya tahun lalu yang mendakwa lawannya menggunakan ayat suci al-Quran untuk menipu pengundi supaya tidak mengundinya.

Pemimpin itu bakal melepaskan jawatannya selepas tewas dalam pilihan raya gabenor baru-baru ini. - Agensi

Disiarkan pada: May 12, 2017 @ 11:01am
d