global

Pyongyang tuntut ekstradisi ketua perisikan Korea Selatan

Oleh AFP

Seoul: Korea Utara semalam menuntut pengekstradisian ketua agensi perisikan Korea Selatan, seorang ahli perniagaan China dan seorang ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat berkait dengan dakwaan merancang membunuh pemimpin negara itu, Kim Jong-Un.

Kementerian Keselamatan Korea Utara minggu lalu berkata, ia menggagalkan rancangan agensi perisikan Amerika Syarikat dan Korea Selatan untuk membunuh Kim dengan mengguna senjata biokimia.

Tuduhan itu dibuat ketika keadaan tegang di Semenanjung Korea berkait dengan program nuklear dan misil Korea Utara dan rancangan Amerika Syarikat untuk menyenaraikan Pyongyang sebagai negara penganjur keganasan.

Pejabat Pendakwa Raya Awam Pusat negara itu semalam berkata, ia akan membuka pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab dengan rancangan membunuh Kim Jong-Un.

Ia menamakan mereka sebagai pengarah Perkhidmatan Perisikan Korea Selatan (NIS), Lee Byung-Ho, pengarah pasukan NIS yang dikenali sebagai Han, ejen NIS, Jo Ki-Choi, ahli perniagaan China, Xu Guanghai dan seorang ‘perancang dalam CIA.’

“Kami menggesa pihak yang berkaitan menangkap dan menyerahkan mereka kepada kami. Kami akan mengenakan hukuman berat ke atas mereka. Tidak ada orang yang merancang membunuh pemimpin negara ini akan selamat di dunia,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat itu.

Korea Utara secara teknikalnya masih berperang dengan Korea Selatan. Ia juga tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat.

Sementara itu, jurucakap NIS berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai rancangan membunuh Kim Jong-Un.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 2:19am
d