global

Serangan satu dunia

Oleh AFP

Washington: Gelombang serangan siber seluruh dunia berlaku pada lewat Jumaat dipercayai hasil eksploitasi kesilapan dalam dokumen yang dibocorkan daripada Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS).

Serangan dikesan di puluhan negara itu menggunakan ‘ransomware’ yang mengunci fail pengguna melainkan mereka membayar sejumlah wang kepada penggodam menggunakan mata wang maya Bitcoin.

Bagaimanapun, disebabkan tersebar di Eropah pada lewat Jumaat - waktu malam kebanyakan negara Asia - kesan sebenarnya dipercayai hanya akan dilihat esok.

Antara yang terkesan termasuk rangkaian komputer di hospital di Britain, kementerian dalam negeri Russia, syarikat telekomunikasi Sepanyol, Telefonica dan firma penghantaran barangan AS, FedEx selain pelbagai organisasi lain.

Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan Britain dan Agensi Jenayah Kebangsaannya menyiasat kejadian di negara itu yang melumpuhkan sistem Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) seterusnya menjejaskan ratusan pesakit termasuk di unit kecemasan.

Perdana Menteri Theresa May berkata: “Serangan ini tidak menyasarkan NHS, ia serangan antarabangsa dan beberapa organisasi serta negara turut terkesan.”

Jurucakap firma keselamatan siber, Avast, Jakub Kroustek berkata, lebih 75,000 virus dikesan di 99 negara, manakala penyelidik Kaspersky, Costin Raiu melaporkan 45,000 serangan di 74 negara yang pantas merebak.

Gambar di media sosial menunjukkan skrin komputer NHS dengan imej menuntut bayaran AS$300 (RM1,300) dalam Bitcoin.

Bayaran perlu dilakukan dalam tiga hari atau jumlah itu meningkat. Jika tidak dibuat dalam tujuh hari semua fail akan dipadam. Ia boleh merebak tanpa membuka e-mel atau pautan.

Sementara itu, ‘suis pemati’ mungkin sudah ditemui untuk menghalang penyebaran ransomware berkenaan buat masa ini.

Disiarkan pada: May 14, 2017 @ 1:28am
d