global

Sistem khalifah sudah lapuk

Jakarta: Seorang pemimpin Majlis Ulama Indonesia (MUI) berkata, sistem pemerintahan khalifah yang sering menjadi propaganda sebilangan kumpulan Islam tidak sesuai di Indonesia dan mendakwa ia ketinggalan zaman.

Timbalan ketua suruhanjaya undang-undang MUI, Ikhsan Abdulah memberitahu, sistem politik khalifah yang menjadi asas perjuangan pergerakan Hizbut Tahrir Indonesia (HTI), adalah legasi dari masa lalu dan ketinggalan berbanding sistem demokrasi moden.

“Sistem khalifah ini sudah hilang kewajaran pada zaman ini. Sistem ini berakhir bersama empayar Uthmaniah terakhir di Turki dan ia sudah tidak relevan lagi,” katanya yang dipetik portal tribunnews.com, semalam.

Ikhsan menerangkan, apabila empayar itu berakhir, sistem khalifah tidak digunakan lagi dan Turki me nubuhkan institusi negara moden.

Ujarnya, walaupun sistem itu bertentangan dengan asas negara atau Pancasila dan Perlembagaan tetapi sekiranya menjadi sebahagian pembelajaran sejarah, ia sepatutnya tidak diharamkan kerajaan.

“Apa yang perlu kita ambil perhatian dan bimbangkan adalah maksud HTI yang mempromosikan sistem khalifah di Indonesia,” katanya.

Pada 5 Mei lalu, kerajaan mengumumkan rancangan untuk mengharamkan HTI dengan alasan pergerakan itu mempromosikan kewujudan sistem khalifah yang bertentangan dengan Pancasila dan Perlembagaan negara.

Pengumuman itu dikritik banyak pihak yang menggesa kerajaan mengikut undang-undang dengan mendapatkan perintah mahkamah sebelum membuat keputusan berkenaan. - Agensi

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 9:48am
d