global

Tawan seluruh Mosul sebelum Ramadan

Mosul: Tentera Iraq semalam meneruskan serangan untuk menawan semula daerah di barat Mosul yang masih dikuasai kumpulan Daish, dalam usaha menguasai keseluruhan wilayah itu sebelum Ramadan minggu depan.

Jurucakap Markas Operasi Bersama Iraq, Brigadier Jeneral Yahya Rasool berkata, pasukan keselamatan negara itu kini menguasai 90 peratus barat Mosul selepas menawan keseluruhan timur bandar raya berkenaan awal tahun ini.

“Daish kini hanya menguasai 10.5 peratus kawasan yang terdiri daripada beberapa kejiranan di sekitar Masjid al Nuri di Bandar Lama. Jalan sempit dan bangunan yang rapat di kawasan itu menyukarkan kami menawannya,” kata Yahya.

Tentera dan polis Iraq melancarkan operasi besar-besaran untuk menawan semula bandar raya berkenaan tujuh bulan lalu dengan bantuan serangan udara yang diketuai Amerika Syarikat.

Kempen itu juga menyebabkan ratusan orang awam terbunuh. - AFP

Disiarkan pada: May 17, 2017 @ 9:47am
d