global

Terlalu awal untuk tuduh Korea Utara

The Hague: Agensi polis Eropah semalam berkata, terlalu awal untuk menuduh Korea Utara terbabit dalam serangan siber besar-besaran sehingga mencetuskan huru-hara komputer di 150 negara.

“Kami terbuka kepada siasatan dari semua hala. Kami tidak membuat spekulasi dan kami tidak boleh mengesahkan dakwaan ini. Terlalu awal untuk menyatakan sesuatu,” kata jurucakap Europol, Jan Op Gen Oorth.

Dia berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa penyelidik keselamatan yang menyiasat serangan siber itu sebagai berkata, terdapat tanda-tanda kemungkinan Korea Utara terbabit.

Malah seorang pakar memberi amaran, lebih banyak serangan akan berlaku.

Dalam tanda awal punca serangan besar-besaran ransomware, penyelidik Google, Neel Mehta memuat naik kod komputer yang menunjukkan persamaan antara malware ‘WannaCry’ dan usaha penggodaman besar-besaran yang didakwa dilakukan Pyongyang sebelum ini.

Dalam pada itu, Europol berkata, serangan itu semakin lembap semalam dengan jumlah alamat IP di seluruh dunia yang terjejas ialah 163,745, penurunan 38 peratus daripada 226,000 yang dilaporkan kelmarin.

Serangan itu menyekat komputer dan menyiarkan imej pada skrin komputer mangsa, menuntut bayaran AS$300 (RM1,300) dengan matawang maya Bitcoin.
- Agensi

Disiarkan pada: May 17, 2017 @ 9:48am
d