global

209 mati di Yaman kerana taun: UNICEF

Sanaa: Jumlah kematian akibat wabak taun yang melanda Yaman meningkat kepada 209 orang dengan 17,200 kes dilaporkan di seluruh negara itu sejak beberapa minggu lalu.

Misi Agensi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Yaman berkata semalam, peningkatan kes kematian akibat wabak itu amat membimbangkan.

Jurucakapnya, Mohammed Al-Asaadi memberitahu wartawan, 3,000 kes baru dilaporkan setiap hari.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa berkata kelmarin, 184 orang mati akibat wabak itu sejak 27 April dengan 11,000 kes baru dilaporkan di seluruh negara itu.

Pihak berkuasa di Sanaa, ibu negara Yaman yang dikuasai pemberontak Houthi yang disokong Iran minggu lalu mengisytiharkan darurat selepas wabak itu merebak kali kedua dalam masa kurang setahun.

Hospital yang terjejas teruk akibat peperangan terpaksa bergelut untuk melayani pesakit yang semakin ramai.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 8,000 orang terbunuh dan sekitar 40,000 cedera dalam peperangan yang meletus dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran, dua pertiga penduduk negara itu kini berdepan dengan kebuluran. - Agensi

Disiarkan pada: May 18, 2017 @ 10:54am
d