global

Lebih ramai akan dibunuh: Duterte

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata semalam, dia bercadang memenggal mereka yang menentang perang dadahnya dan memberi amaran 50,000 orang lagi akan dibunuh dalam usahanya menghapuskan pengedar dadah di negara itu.

Dia juga bertegas menyatakan tidak akan terpengaruh dengan kritikan dalam usahanya itu yang disifatkan kumpulan hak asasi sebagai jenayah terhadap perang.

“Jangan kamu percaya dengan kumpulan hak asasi. Jika kamu percaya, saya akan potong kepala kamu. Saya tidak gentar dengan ancaman. Hendak penjara saya, silakan. Jika mereka kata saya perlu dipenjara, baik. Saya akan membayar harga itu,” katanya ketika berucap merasmikan sebuah jambatan di selatan Filipina.

Duterte berkata, aktivis hak asasi mendakwa 10,000 orang mati dalam peperangannya menentang dadah sejak dia menjadi presiden.

Dia memberi amaran, lebih banyak kematian akan berlaku dalam usahanya menghapuskan kegiatan dadah dalam masyarakat.

“Jadikan jumlah itu 50,000. Saya akan menghapuskan mereka walaupun saya akan ke neraka. Saya juga boleh habiskan sisa hidup saya dalam penjara. Saya tidak kisah. Saya sudah tua.” katanya.

Duterte menang pilihan raya presiden tahun lalu dengan mudah selepas berjanji untuk menghapuskan jenayah dengan membunuh puluhan pengedar dan penagih dadah. - Agensi

Disiarkan pada: May 19, 2017 @ 11:47am
d