global

Firza disahkan wanita dalam sembang lucah

Oleh Agensi

WANITA yang muncul dalam sembang seks, termasuk berbogel dengan pemimpin Front Pembela Islam (FPI) Indonesia Rizieq Shihab, dikeenal pasti sebagai aktivis wanita Firza Husein.

Jakarta Post melaporkan, polis Indonesia mengesahkan identiti wanita itu menggunakan pelbagai kaedah, termasuk perisian mengenal pasti wajah, biometrik dan membandingkan wajah wanita dalam sembang berkenaan dengan Firza yang ditahan pada 4 Februari lalu, kerana disyaki merancang sabotaj terhadap kerajaan.

Pakar mengecam wajah bahagian Sistem Mengenal Pasti Cap Jari polis Indonesia (Inafis), Hery Cahyono, berkata pasukannya juga menggunakan kaedah biometrik ketika memeriksa gambar bogel Firza dalam perbualan di WhatsApp itu serta membandingkan gambarnya pada kad pengenalan serta pangkalan data Kementerian Dalam Negeri.

“Sistem automatik algorithm menunjukkan semua gambar itu sepadan. Sistem itu tidak akan melaporkan padanan jika gambar berkenaan dari dua orang orang berbeza,” katanya kepada kompas.com.

Awal tahun ini, polis mengarahkan Firza hadir untuk soal siasat selepas petikan sembang di WhatsApp antara Rizieq dan seorang wanita tersebar di Internet.

Firza, penyelaras yayasan Solidaritas Sahabat Cendana yang ada kaitan dengan bekas presiden Soeharto, pernah dilaporkan mempunyai hubungan dengan lelaki sudah berkahwin.

Portal Indonesia melaporkan Firza Husein ialah janda anak satu Firza dan rapat dengan Rizieq serta isterinya. Dalam beberapa gambar yang beredar di media sosial, Firza dilihat kerap menghadiri pengajian diadakan Rizieq.

Peguam Firza, Azis Yanuar berkata: “Kes ini sengaja diada-adakan dan tidak berasas.”

Polis pula mengesahkan Rizieq, 50, yang sudah beberapa kali tidak mengendahkan arahan polis untuk hadir bagi soal siasat, berada di Jeddah, Arab Saudi.

Peguamnya, Kapitra Ampera, berkata Rizieq berlepas ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah dengan keluarganya pada 27 April dan belum pulang ke Indonesia.

FPI ialah pertubuhan yang memperjuangkan untuk melaksanakan undang-udang Syariah di Indonesia dan menjadi penyokong utama Pertubuhan Gerakan Jihad Islam di seluruh dunia serta menyokong konsep Khalifah.

Disiarkan pada: May 19, 2017 @ 6:07pm
d