global

Pengasas WikiLeaks bebas tuduhan rogol

Oleh AFP

PENDAKWARAYA Sweden hari ini, menggugurkan siasatan selama tujuh tahun terhadap pengasas WikiLeaks, Julian Assange, yang didakwa merogol.

Assange, 45, kini berlindung dalam Kedutaan Ecuador di London sejak 2012.

Esok adalah tarikh akhir pihak pendakwa Sweden sama ada memperbaharui waran tangkap yang berkuat kuasa di seluruh Eropah atau menggugurkannya.

“Pengarah Jabatan Pendakwaraya, Marianne Ny, hari ini memutuskan untuk tidak meneruskan siasatan kes rogol membabitkan Julian Assange," kata kenyataan jabatan itu.

Peguam pasukan pembelaan Assange, Per Samuelsson, berkata ia adalah kejayaan penuh dan ia bermakna Assange bebas untuk meninggalkan kedutaan itu jika dia mahu.

Namun, polis Britain menegaskan akan menahannya jika dia meninggalkan kedutaan itu kerana melanggar syarat ikat jamin dengan enggan menyerah diri terhadap waran tangkap untuk diekstradisi ke Sweden yang dikeluarkan pada 2012

Kesalahan melanggar syarat jaminan itu adalah kecil di Britain, membawa hukuman hanya sehingga setahun atau denda.

Assange dari Australia, menafikan dakwaan rogol pada 2010 itu dan mengesyaki ia adalah helah untuk mengekstradisi ke Amerika Syarikat kerana membocorkan ratusan ribu maklumat sulit tentera Amerika serta dokumen diplomatik.

Bulan lalu, Peguam Negara Amerika, Jeff Sessions, berkata menahan Assange menjadi keutamaan teratas.

Dalam tuduhan rogol itu, wanita yang didakwa menjadi mangsa menyatakan dia bertemu Assange ketika persidangan WikiLeaks di Stockholm dan Assange melakukan hubungan dengannya ketika wanita itu sedang tidur tanpa menggunakan kondom walaupun berulang kali menyatakan enggan melakukan seks tanpa kondom,

Assange menegaskan dalam testimoni 19 muka pada 2016 bahawa hubungan seks itu adalah kerelaan bersama dan dakwaan terhadapnya bermotifkan politik.

Disiarkan pada: May 19, 2017 @ 8:23pm
d