global

Saudi beri kerakyatan kepada Dr Zakir

Riyadh: Pendakwah Dr Zakir Naik (gambar) yang dikehendaki oleh pihak berkuasa India atas tuduhan keganasan, diberikan kerakyatan Arab Saudi.

Sumber dari Arab Saudi melaporkan, Raja Salman campur tangan untuk memberikan kerakyatan Saudi kepada Zakir bagi melindunginya daripada ditangkap oleh Pertubuhan Polis Antarabangsa, Interpol.

Mahkamah di India bulan lalu mengeluarkan waran tangkap kedua terhadap Zakir berkait dengan peranannya dalam kes yang ada hubungan dengan keganasan dan tuduhan penggubahan wang haram.

Zakir yang berada di luar negara ketika waran tangkap itu dikeluarkan, memutuskan untuk tidak kembali ke India, sebaliknya kekal di Malaysia, tempat dia diberikan status penduduk tetap lima tahun lalu.

Pendakwah berusia 51 tahun itu meninggalkan India tahun lalu, mengelak daripada ditangkap selepas beberapa orang yang terbabit dalam serangan di Dhaka mendakwa mereka terpengaruh dengan dakwahnya.

Media India melaporkan, pihak berkuasa negara itu merancang membatalkan pasportnya dan meminta Interpol mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.

Zakir yang dipercayai berada di Arab Saudi ketika itu terpaksa pulang ke India jika pasportnya dibatalkan. - Agensi

Disiarkan pada: May 21, 2017 @ 7:13am
d