global

Iran tuduh AS sebar 'Iranophobia'

Dubai: Iran semalam menuduh Amerika Syarikat menjual senjata kepada ‘pengganas berbahaya’ di Asia Barat dan menyebarkan ‘Iranophobia’ yang betujuan menggalakkan negara Arab membeli senjata.

“Sekali lagi, dia mengulangi dakwaan tidak berasas mengenai Iran. Presiden Amerika Syarikat cuba menggalakkan negara di Asia Barat membeli lebih banyak senjata dengan menyebarkan Iranophobia,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Bahram Qassemi, sehari selepas Donald Trump mengakhiri lawatan ke negara musuh ketat Teheran, Arab Saudi, tempat perjanjian senjata berjumlah AS$110 bilion ditandatangani.

Menerusi mesej kepada Teheran sejurus selepas Presiden Hassan Rouhani mengekalkan jawatannya dalam pilihan raya presiden, Trump menggesa semua pemimpin Arab dan Islam untuk bersatu bagi mengalahkan kumpulan militan Islam dan menuduh Iran sejak puluhan tahun lalu mencetuskan konflik perkauman dan keganasan.

Arab Saudi dan Iran terbabit dalam persaingan untuk mencari pengaruh di Asia Barat.

Qassemi berkata, Washington hanya mengukuhkan pengganas di rantau itu menerusi dasar bermusuhannya dengan Teheran.

Dia juga menggesa Trump menghentikan penjualan senjata kepada ‘pengganas berbahaya.’

Qassemi tidak menyebut nama pihak yang dimaksudkannya itu. Bagaimanapun, ‘pengganas berbahaya’ itu dipercayai merujuk kepada Arab Saudi.

“Amerika Syarikat dan sekutunya perlu tahu bahawa Iran ialah negara demokratik, stabil dan kuat’ dan ia memperjuangkan ‘keamanan, jiran yang baik serta menentang keganasan dan fahaman pelampau,” kata Qassemi. - AFP

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 1:40pm
d