global

Berang larang gantung tasbih

Manila: Tindakan kerajaan Filipina mengharamkan perbuatan menggantung tasbih dan ikon agama lain di atas papan muka kereta atas alasan keselamatan mencetuskan kemarahan pihak gereja negara itu.

Pengharaman itu yang akan berkuatkuasa Jumaat ini adalah sebahagian daripada undang-undang baru yang bertujuan mengelak pemandu teralih tumpuan ketika memandu.

Pengharaman lain, termasuk bercakap atau menghantar mesej menerusi telefon bimbit, bermekap, makan atau minum ketika memandu, kata jurucakap pihak berkuasa pengangkutan, Aileen Lizada.

Bagaimanapun, pengharaman ikon agama yang biasa dilihat tergantung pada cermin pandang belakang teksi dan bas mini yang dikenali sebagai jeepney paling banyak mencetuskan kontroversi.

Kira-kira 80 peratus daripada 100 juta rakyat Filipina beragama Katolik dan ikon agama itu yang digantung pada kenderaan dilihat oleh kebanyakan mereka sebagai cara untuk mendapatkan perlindungan tuhan ketika memandu.

Setiausaha Persidangan Paderi Katolik, Jerome Secillano berkata, kerajaan bertindak keterlaluan tanpa memikir sensitiviti penduduk.

“Dengan imej keagamaan, pemandu dapat berasa selamat,” katanya. - AFP

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 1:48pm
d