global

Ahok fail rayuan hukuman penjara

Jakarta: Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang kini dipenjara mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang memutuskan dia bersalah atas tuduhan menghina Islam, kata peguamnya semalam.

Basuki atau dikenali sebagai Ahok dihukum penjara dua tahun awal bulan ini oleh sebuah mahkamah daerah di sini selepas didapati bersalah menghina al-Quran.

Peguam Ahok, Ronny Talapessy berkata, pihaknya memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi di Jakarta.

Menurutnya, keputusan mahkamah itu dibuat tanpa mengambil kira keterangan saksi pendakwaan dengan baik.

“Keputusan itu bukan sahaja mengejutkan kami dan pihak pendakwa raya malah seluruh dunia juga tidak percaya,” katanya.

Pihaknya juga menggesa mahkamah membebaskan Ahok dengan jaminan sementara menunggu keputusan rayuan berkenaan.

Pihak pendakwa raya juga memfailkan rayuan menolak hukuman penjara terhadap Ahok.

Dakwaan itu menyebabkan Ahok yang beragama Kristian dan dari etnik Cina tewas dalam pilihan raya gabenor. - AFP

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 1:51pm
d