global

Hospital tentera dibom

Oleh Reuters

Bangkok: Satu serangan bom di sebuah hospital tentera di Bangkok semalam menyebabkan 24 orang cedera, kata pegawai.

Serangan itu berlaku pada ulang tahun ketiga rampasan kuasa tentera yang menumbangkan kerajaan yang dipilih melalui demokrasi.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan di Hospital Phramongkutklao yang sering dikunjungi askar, keluarga mereka dan pesara tentera.

“Ia serangan bom. Kami menemui cebisan peralatan yang digunakan untuk membuat bom.

“Kami kini memeriksa rakaman kamera keselamatan untuk mengesan suspek serangan ini,” kata komander unit pemusnah bom polis, Kamthorn Aucharoen.

Jurucakap kerajaan, Sansern Kaewkamnerd berkata, seramai 24 orang awam cedera dalam serangan itu.

Kebanyakan mangsa yang cedera terkena serpihan kaca yang berterbangan akibat letupan kuat itu.

Penganalisis berpendapat serangan itu mungkin dilancarkan musuh politik yang menentang junta tentera atau kumpulan pemisah selatan negara itu.

Timbalan ketua polis Thailand, Srivara Rangsibrahmanakul berkata, bom itu disembunyikan dalam satu bekas yang diletakkan di pintu masuk farmasi.

Semalam juga adalah ulang tahun ketiga rampasan kuasa tentera yang menumbangkan kerajaan bekas Perdana Menteri, Yinluck Shinawatra.

Rampasan kuasa itu menamatkan kekacauan politik yang kadangkala mencetuskan rusuhan berdarah selama beberapa bulan di Thailand.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 1:52pm
d