global

Tangguh dulu

Oleh Agensi

London: Parti politik di Britain bersetuju menangguhkan kempen pilihan raya untuk tempoh yang tidak diketahui susulan letupan oleh penyerang berani mati di Manchester yang membunuh 22 orang ketika konsert penyanyi pop, Ariana Grande.

Pemimpin pembangkang, Parti Buruh, Jeremy Corbyn berkata, dia sudah berbincang dengan Perdana Menteri Theresa May dan mereka bersetuju semua kempen peringkat kebangsaan untuk pilihan raya 8 Jun depan akan ditangguhkan sementara.

Theresa sebelum itu berkata, kejadian di bandar di utara England itu serangan pengganas yang menjijikkan.

“Kami bersimpati dengan mangsa dan keluarga mereka,” katanya.

Dia turut memanggil mesyuarat segera dengan ketua risikan negara itu selepas kejadian dianggap serangan pengganas paling buruk di Britain sejak empat pengganas membunuh 52 orang dalam serangan berani mati membabitkan sistem pengangkutan London pada Julai 2005.

Sementara itu, pemimpin dunia menyuarakan rasa terkejut dengan kejadian yang mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang termasuk kanak-kanak.

Canselor Jerman, Angela Merkel berkata: “Serangan ini pasti mengukuhkan azam kami untuk bekerjasama dengan rakan-rakan di Britain menentang golongan yang melaksanakan perbuatan tidak berperikemanusiaan ini.”

Presiden Russia, Vladimir Putin turut menyatakan kesungguhannya meningkatkan kerjasama antikeganasan dengan Britain susulan kejadian yang dianggapnya jenayah tidak berhati perut.

Sementara itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull mengutuk kejadian itu dengan Turnbull mengecam serangan yang dilihat sengaja menyasarkan pengunjung kanak-kanak serta remaja.

“Ia serangan terhadap golongan tidak berdosa. Perbuatan paling keji adalah membunuh kanak-kanak,” katanya.

Presiden China Xi Jinping turut mengucapkan takziah kepada Ratu Elizabeth II.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 4:31am
d