global

Ahok tak merayu

Oleh Reuters

Jakarta: Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang kini dipenjarakan menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mendapati dia bersalah atas dakwaan menghina Islam.

Basuki atau dikenali sebagai Ahok dihukum penjara dua tahun selepas didapati bersalah oleh sebuah mahkamah di Jakarta pada 9 Mei lalu.

Dalam satu sidang media semalam, isteri Ahok, Veronica Tan mengalirkan air mata ketika membacakan sepucuk surat daripada pemimpin itu yang mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya.

“Saya tahu sukar bagi anda untuk menerima realiti ini. Biarlah saya sendiri, saya belajar untuk memaafkan dan menerima semua ini.

“Membantah antara satu sama lain mengenai proses yang saya lalui ini bukanlah sesuatu yang patut dilakukan,” kata Ahok dalam surat itu.

Ahok juga melahirkan kebimbangan kemungkinan berlakunya pergaduhan antara penyokong dan pihak yang menentangnya.

Gabenor Jakarta yang beragama Kristian dan daripada etnik Cina itu mencetuskan kemarahan kumpulan Islam apabila mendakwa lawannya menggunakan ayat suci al-Quran untuk menipu pengundi supaya tidak mengundinya.

Ahok yang dilihat berpeluang cerah mempertahankan jawatannya, bagaimanapun tewas dalam pilihan raya gabenor akibat kontroversi berkenaan.

Sementara itu, peguam Ahok berkata, dengan menarik balik rayuan ia memberi lebih ruang kepada pihak pendakwa raya merayu hukuman berkenaan di Mahkamah Tinggi.

Ketika perbicaraan sebelum ini, pendakwa raya meminta mahkamah hanya meletakkan pemimpin itu di bawah pemerhatian.

“Kami tidak mahu mengganggu proses rayuan berkenaan. Mereka (pendakwa raya) boleh meneruskannya,” kata peguam Wayan Sudirta.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 4:35am
d