global

Anggota yakuza kini miskin

KEHIDUPAN sebagai samseng ‘yakuza’ di Jepun semakin sukar menyebabkan ada anggota kumpulan itu terpaksa mencuri makanan di pasar raya untuk meneruskan kehidupan.

Menurut polis hari ini, dua anggota kumpulan penjenayah terancang itu ditahan polis kerana mencuri barangan runcit bernilai 76,120 yen (RM2,900) di sebuah pasar raya di Nagoya.

“Mereka adalah dari kumpulan Kobe Yamaguchi-gumi," kata jurucakap polis merujuk kepada kumpulan yang berpecah daripada pertubuhan terbesar Yakuza di Jepun, Yamaguchi-gumi, pada 2015.

Dua samseng berusia 52 dan 59 tahun itu mencuri tembikai, beras, belut dan makanan sejuk beku siap.

Menurut akhbar Mainichi, seorang lelaki itu memberitahu kumpulan mereka kini amat miskin menyebabkan anggota terpaksa mencuri makanan.

Yakuza berkembang di Jepun selepas perang Perang Dunia Kedua menjadi pertubuhan haram berpendapatan berbilion ringgit setahun dengan aktiviti perjudian, dadah, pelacuran, pinjaman wang haram, sindiket wang perlindungan dan jenayah kolar putih.

Tidak seperti mafia Itali atau China di negara lain, yakuza mendapat tempat dalam kalangan penduduk Jepun, malah dianggap tidak salah dan setiap kumpulan mempunyai ibu pejabat yang diketahui polis.

Namun, perubahan cara hidup, kemelesetan ekonomi dan jumlah ahli yang merosot menjejaskan yakuza selain udang-undang baru kerajaan Jepun yang menghalang urus niaga dengan kumpulan samseng.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 6:07pm
d