global

Ayra jalani bedah untuk kurus

Jakarta: Walaupun baru berusia 10 tahun, berat badannya sudah mencecah 190 kilogram.

Ayra Permana yang menetap bersama keluarganya di Cipurwasari di daerah Karawang, Jawa Barat menjadi begitu gemuk kerana ketagihannya terhadap makanan, khususnya minuman bergas dan mi segera.

Ibunya, Rokayah, 36, dan bapa, Ade Somantri berkata, anak mereka makan lima kali sehari tetapi masih mengadu lapar.

Terkejut dengan keadaannya, doktor memaksa Ayra melakukan diet sihat sebelum mereka mengambil keputusan menjalankan pembedahan bariatrik untuk mengecilkan perutnya selepas beratnya tidak banyak turun setelah berdiet.

Ayra berjaya mengurangkan beratnya sembilan kilogram sebelum menjalani pembedahan 17 April lalu dan turun sebanyak 16 kilogram lagi dalam masa dua minggu setelah dibedah.

Menurut Rokayah, sebelum ini, Ayra akan makan lima bungkus mi segera sehari dan minum beberapa botol air bergas.

Dia juga makan lima kali sehari - beras, ikan, daging, sup sayur dan tempe.

Kerana terlalu berat, dia sukar berdiri atau bergerak, menyebabkan dia tidak bersekolah. Dia hanya menghabiskan masa di rumah dan mandi di dalam kolam kecil.

Kini, selepas menjalani pembedahan untuk mengecilkan perutnya, Ayra tidak makan sebanyak sebelumnya walaupun masih berselera.

“Dia akan muntah jika makan berlebihan kerana perutnya sudah kecil,” kata Ade.

Dr Handy yang mengawasi perkembangan Ayra berkata, kanak-kanak itu terdedah kepada mati jika tiada tindakan diambil untuk menurunkan beratnya.

Keputusan rawatannya kini diawasi dan dia perlu menurun beratnya setiap minggu. Doktor berharap selepas setahun menjalani rawatan itu, berat Ayra akan berada di bawah 100 kilogram. - Agensi

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 11:40am
d