global

Jangan campur urusan kami: Jusuf Kalla

Jakarta: Naib Presiden Jusuf Kalla meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya tidak campur tangan dalam sistem kehakiman Indonesia, khususnya yang berkait dengan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang dipenjara dua tahun atas kesalahan menghina Islam bulan lalu.

Gesaan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap kritikan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendesak Indonesia menarik balik hukuman atau memberi pengampunan kepada Basuki yang lebih dikenali sebagai Ahok.

“Mereka tidak boleh campur tangan hal ehwal dalam negara ini. Sama seperti kita tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal undang-undang Malaysia atau Amerika Syarikat,” kata Jusuf, seperti yang dipetik kompas.com.

Katanya, dia bimbang kenyataan pakar itu hanya akan memburukkan lagi ketegangan yang ada.

Ketika ditanya mengenai keputusan Ahok menarik balik rayuan terhadap hukuman ke atasnya, naib presiden itu berkata, ia hak Ahok dan keputusannya mesti dihormati.

Reuters melaporkan Isnin lalu, tiga pakar undang-undang PBB mengeluarkan kenyataan bersama dengan mendakwa hukuman ke atas Ahok itu akan menjejaskan imej kerajaan Indonesia. - Agensi

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 11:43am
d