global

Militan penggal ketua polis

Manila: Kumpulan militan yang mengganas di sebuah bandar di selatan Filipina memenggal seorang ketua polis tempatan yang mereka culik, kata Presiden Rodrigo Duterte.

Menurutnya, kejadian berlaku berhampiran bandar Marawi yang dilapor dikuasai kumpulan itu sebagai membalas dendam terhadap penguatkuasaan undang-undang tentera yang diisytiharkannya di sepertiga selatan negara itu, termasuk Mindanao.

“Ketua polis Malabang dalam perjalanan pulang apabila dia ditahan di pusat pemeriksaan yang dikendalikan ‘pengganas.’

“Saya percaya mereka memenggalnya di situ serta-merta,” kata Duterte pada sidang akhbar di Manila, sejurus tiba dari Moscow selepas memendekkan lawatanya ke Russia.

Pertempuran meletus kelmarin selepas tentera Filipina menyerbu sebuah rumah di Marawi, tempat mereka percaya Isnilon Hapilon, ketua kumpulan Abu Sayyaf dan juga ketua Daish Filipina bersembunyi.

Lebih 100 lelaki bersenjata bertindak balas terhadap serbuan itu dengan membakar bangunan dan menculik beberapa penduduk menyebabkan ribuan penduduk meninggalkan bandar berkenaan.

Polis berkata, seorang pegawai dan dua askar terbunuh dalam pertempuran itu.

Duterte berkata, pertempuran yang berlaku semalam menunjukkan keupayaan militan terbabit untuk melancarkan lebih banyak keganasan. - AFP

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 11:46am
d