global

Serang kerana dendam

Oleh Agensi

London

Pengebom Manchester, Salman Abedi didakwa meletupkan dirinya dalam serangan berani mati awal pagi Selasa lalu kerana membalas dendam terhadap pengeboman Amerika Syarikat ke atas kanak-kanak di Syria.

Perkara itu dinyatakan oleh adiknya, Jomana Abedi, 18.

Dia menggambarkan abangnya itu sebagai penyayang dan baik hati serta berkata, dia terkejut dengan tindakan Salman meletupkan dirinya hingga meragut nyawa 22 orang di akhir konsert bintang pop Amerika Syarikat, Ariana Grande di Manchester Arena.

Bercakap kepada Wall Street Journal, Jomana berkata, dia percaya abangnya terdorong dengan penderitaan yang dialami kanak-kanak di Syria yang dianggapnya tidak adil dan mahu membalas dendam.

“Dia menyaksikan kanak-kanak di Syria mati kerana dibom oleh pesawat Amerika. Sama ada tindakannya membalas dendam itu berjaya dan tepat, itu antara dia dengan tuhan,” katanya.

Sementara itu, rakan keluarga Jomana berkata, Salman mungkin melakukan keganasan itu kerana menuntut bela ke atas pembunuhan rakannya tahun lalu.

Menurutnya, Abdul Wahab Hafidah ditikam hingga mati selepas dilanggar di Manchester pada Mei 2016.

“Dia melihat pembunuhan Abdul Wahab sebagai perbuatan tidak adil dan berpunca daripada jenayah kebencian. Saya melihat sendiri dia ‘bersumpah’ untuk membalas dendam,” katanya.

Sebelum ditangkap di Tripoli, ibu negara Libya, bapa Salman, Ramadan Abedi juga berkata, anaknya terpengaruh dengan kumpulan ekstremis berikutan pembunuhan Abdul Wahab.

Ramadan ditangkap sekumpulan lelaki bertopeng ketika diwawancara.

Dia berkata, anaknya kelihatan biasa ketika mereka berbual lima hari lalu dan bertegas menyatakan: “Keluarga saya tidak akan membunuh orang tidak berdosa.”

Adik Salman, Hashem turut ditahan di Libya kerana disyaki mempunyai hubungan dengan Daish, kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan Selasa lalu.

Seorang pegawai keselamatan Libya berkata, Hashem mengaku mengetahui rancangan abangnya.

Abang Salman, Ismail, 23, pula ditahan di Chorlton, selatan Manchester.

Seorang bapa saudaranya ditahan di Manchester kelmarin sementara terdapat laporan lain mendakwa ibu Salman juga ditahan polis.

Salman yang dikatakan gagal meneruskan pengajian di Universiti Salford mengunjungi beberapa negara Asia Barat dan menjalani latihan keganasan di Syria sebelum ini.

Dia didakwa kembali ke Britain dari Libya beberapa hari sebelum melakukan serangan.

Disiarkan pada: May 26, 2017 @ 11:29am
d