global

Indonesia, Vietnam lancar siasatan bersama

Jakarta: Indonesia dan Vietnam akan melakukan siasatan bersama berhubung kejadian di laut Ahad lalu selepas laporan mendakwa pengawal pantai Vietnam secara paksa cuba melepaskan lima bot nelayan negara itu dan anak kapalnya yang ditahan di Kepulauan Natuna.

Sebuah bot peronda Indonesia sebelum itu memintas lima bot nelayan Vietnam dan menahan 55 anak kapalnya setelah mereka memasuki perairan Indonesia, kata Setiausaha Agung Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan, Rifky Effendi Hardijanto.

Menurut laporan, sebuah bot pengawal pantai Vietnam kemudian merempuh sebuah bot nelayan yang ditunda ke pangkalan Indonesia di Pulau Batam, menyebabkan ia karam.

“Sama ada benar rempuhan berlaku atau tidak, kami bersetuju menyiasatnya. Kami bersetuju menyelesaikan kejadian ini menerusi saluran diplomatik,” kata Rifky.

Dia juga menafikan seorang pegawai Indonesia dalam bot yang karam itu dijadikan tebusan oleh pengawal pantai Vietnam dalam usaha membebaskan nelayan terbabit.

Menurut Rifky, pegawai itu diselamatkan pengawal pantai Vietnam dan akan dibenarkan meninggalkan negara itu sebaik kerajaan Indonesia menguruskan pengangkutan. - Reuters

Disiarkan pada: May 26, 2017 @ 12:51pm
d