global

'Marawi bakal jadi kubur mereka'

Oleh Asia Times/Agensi

“KAMI akan jadikan bandar ini perkuburan mereka. kami perlu selesaikan ini,” kata country's pemerintah tentera di selatan Filipina, Jeneral Eduardo Ano, yang menjangka operasi ketenteraan di Marawi, Mindanao, mengambil masa seminggu.

Pertempuran sengit yang tercetus antara kumpulan militan Maute, sekutu Abu Sayyaf, selepas kegagalan tentera Filipina memberkas ketua Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, Selasa lalu, sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 11 tentera, dua polis, 31 militan dan dua orang awam.

“Dia masih berada di sini (di bandar Marawi). Kami cuma tidak boleh memastikan lokasi yang tepat,” kata Ano merujuk kepada Isnilon yang dipercayai mengalami strok selepas cedera dalam serangan udara tentera Filipina awal tahun ini.

Bandar Marawi yang mempunyai penduduk 200,000 orang, majoritinya Islam, kini menjadi medan perang dengan tentera Filipina menggunakan helikopter dan kenderaan berperisai serta kereta kebal menggempur militan.

Menurut Ano, militan berusaha mengeluarkan Isnilon dari bandar itu dan tentera kini melakukan penggeledahan dari rumah ke rumah.

Hapilon, ketua Abu Sayyaf memiliki ijazah kejuruteraan dan boleh berbahasa Arab serta terkenal dengan kepakarannya melakukan serangan ala komando, bersama beberapa kumpulan pemberontak di Mindanao mahu bergabung menjadi pertubuhan besar.

Abu Sayyaf serta Maute menyatakan secara terbuka menyokong Negara Islam (IS) pada 2014 dan Abu Sayyaf adalah ketua gabungan sekurang-kurangnya 10 kumpulan kecil militan, termasuk Maute yang kini bertempur dengan tentera kerajaan di Marawi.

Berbanding Abu Sayyaf, kumpulan Maute yang juga dikenali sebagai Islamic State In Lanao (ISIL) kurang dikenali, berpangkalan di tengah Mindanao diketuai dua beradik, Omar dan Abdullah Maute, yang berjuang kerana agama dan kemerdekaan Mindanao.

Tentera Filipina menganggarkan kumpulan itu mempunyai 100 anggota lengkap bersenjata walaupun ada pihak percaya jumlahnya lebih ramai.

Pasukan keselamatan Filipina sebelum ini tidak mempedulikan sangat kumpulan Maute sehinggalah mereka menyerang pos tentera pada 2013 dan serangan di Marawi ini kali kedua tentera Filipina memandang rendah kemampuan kumpulan berkenaan.

September lalu, Maute melancarkan serangan besar-besaran terhadap tentera dan berjaya menawan pekan Butig di wilayah Lanao del Sur.

Di Marawi, kumpulan itu mengibarkan bendera hitam IS di bangunan.

Disiarkan pada: May 26, 2017 @ 10:45pm
d