global

Bekas Presiden kecam undang-undang tentera

Oleh Agensi

Manila: Bekas presiden yang juga wira demokrasi Filipina, Fidel Ramos semalam mengecam ancaman Presiden Rodrigo Duterte untuk menguatkuasakan undang-undang tentera di negara itu.

Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera ke atas Mindanao, wilayah selatan negara itu Selasa lalu dalam usaha memerangi apa yang dikatakannya peningkatan ancaman Daish selepas anggota kumpulan militan mengganas di seluruh bandar Marawi dan mencetuskan pertempuran yang sehingga semalam masih berterusan.

Dia juga mengancam menguatkuasakan perintah tentera di seluruh negara itu jika merasakan ancaman keganasan merebak di samping memuji undang-undang tentera di bawah pemerintahan diktator Ferdinand Marcos.

Ramos, ketua keselamatan Marcos yang kemudian menjadi tokoh revolusi ‘Kuasa Rakyat’ yang menggulingkan diktator itu pada 1986, mengadakan sidang akhbar semalam untuk membantah tindakan Duterte.

Dia menyelar keputusan Duterte mengenakan undang-undang tentera di seluruh Mindanao yang meliputi sepertiga negara itu dan didiami oleh kira-kira 20 juta penduduk.

Menurutnya, jika hendak dilakukan, ia hanya perlu membabitkan kawasan yang kecil.

“Anda tidak akan gembira dengan undang-undang tentera. Kita semua pernah menjadi mangsanya,” kata Ramos.

Disiarkan pada: May 27, 2017 @ 1:31am
d