global

Jururawat dituduh bunuh 60 bayi

Washington: Seorang jururawat Texas yang dipenjara kerana membunuh seorang bayi lebih 30 tahun lalu didakwa membunuh seorang lagi bayi semalam dan mungkin bertanggungjawab di sebalik kematian kira-kira 60 kanak-kanak.

“Genene Jones, 66, sungguh kejam dan keadilan menuntut dia dipertanggungjawabkan terhadap jenayah yang dia lakukan,” kata pendakwa raya Bexar County, Texas, Nico Lahood.

“Pejabat kami akan cuba menyiasat semua bayi yang nyawa mereka dirampas oleh Genene. Tumpuan kami hanya untuk menuntut keadilan,” kata Lahood di mahkamah.

Jururawat berkenaan kini menjalani dua hukuman kerana jenayah yang dilakukannya pada 1984. Dia dihukum penjara 99 tahun kerana membunuh Chelsea McClellan, 15 bulan, dan cubaan membunuh seorang bayi berusia empat minggu, Roland Santos pada 1984.

Genene, jururawat di unit rawatan rapi wad pediatrik juga dituduh membunuh bayi berusia 11 bulan, Joshua Sawyer pada 1981.

“Dia disyaki membunuh sehingga 60 kanak-kanak,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat pendakwa raya daerah di San Antonio.

Genene ketika ini, dipenjarakan di bandar Gatesville, Texas. - AFP

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 3:02am
d