global

2,000 penduduk terperangkap

Marawi: Dua ribu orang awam terperangkap di bandar ini semalam selepas tentera meningkatkan serangan ke atas kumpulan militan yang berrlindung dalam bangunan di bandar itu.

Pada masa sama, angka kematian akibat pertempuran yang bermula sejak Selasa lalu dikatakan meningkat kepada hampir 100.

Kebanyakan 200,000 penduduk Marawai sudah melarikan diri kerana pertempuran itu. Tetapi 2,000 dikatakan terperangkap di kawasan yang dikuasai militan, kata jurucakap jawatankuasa pengurusan bencana wilayah, Zia Alonto Adiong.

“Mereka menghantar mesej pesanan ringkas kepada kami dan menelefon kami, meminta dihantar pasukan penyelamat. Tetapi kami tidak boleh pergi sesuka hati. Mereka mahu meninggalkan bandar itu. Ada yang sudah keputusan makanan. Mereka bimbang ditembak, dibom dari udara,” katanya.

Tentera kelmarin mengumumkan akan meningkatkan serangan terhadap militan terbabit walaupun sepanjang Ramadan.

Jurucakap tentera, Brigadier Jeneral Restituto Padilla berkata, pihaknya kini terpaksa melakukan lebih banyak serangan udara untuk mengusir anggota militan itu.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dan ketua tentera berkata, kebanyakan militan di Marawi itu adalah kumpulan militan tempatan Maute yang mengisytiharkan taat setia kepada Daish.

Kumpulan itu dipercayai mempunyai 260 pengikut bersenjata.

Duterte juga berkata, penjenayah tempatan turut menyokong kumpulan Maute berkenaan. - AFP

Disiarkan pada: May 29, 2017 @ 1:22pm
d